Kenyataan Timbalan Mursyidul
Am PAS, Datuk Haron Din di dalam Berita Harian hari ini menyebabkan kita
menggeleng-gelengkan kepala. Haron Din menempelak Karpal Singh atas
kenyataan pemimpin DAP itu mengenai parti berasaskan agama wajar
diharamkan. Menurut Haron
Din, Karpal tidak faham agama Islam dan Karpal tidak wajar masuk campur dalam
urusan rumahtangga PAS atau tidak wajar ‘masuk ke dalam kelambu’ PAS.
Analogi ‘kelambu’ yang
digunakan Haron Din membawa makna yang mendalam sekali.
‘Kelambu’ selalunya dikaitkan
dengan keintiman dan menyatakan bahawa DAP telah masuk ke dalam kelambu PAS
membayangkan betapa DAP telah mengetahui segala-galanya tentang PAS. Tiada lagi rahsia PAS yang tidak
diketahui oleh DAP.
Apa yang pelik ialah, walaupun
DAP atau Karpal telah masuk ke dalam kelambu PAS, Karpal masih lagi tidak faham
Islam, sepertimana yang disahkan oleh Haron Din sendiri.
Jelas, apa yang ada di dalam
PAS tidak mampu menarik Karpal ke arah Islam, jauh sekali memahamkannya
mengenai agama suci ini. Ini
kerana apa yang dapat dilihat di dalam kelambu PAS hanyalah kekeliruan antara
menjaga hati bukan Islam, mengambil hati umat Islam, memerangi sesama Islam,
membela Syiah, menyokong komunis dan ketidakpastian mengenai LGBT.
Justeru, tidak hairanlah
Karpal semakin jauh dari Islam dan bukannya semakin tertarik dengan Islam sejak
DAP ‘masuk ke dalam kelambu PAS’.
Apa yang lebih melucukan ialah
kenyataan Haron Din itu membayangkan beliau marah-marah kerana Karpal menceroboh
kelambunya. Mungkin Haron Din terlupa bahawa PAS yang menjemput Karpal
duduk sekelambu.
Sehingga ke tahap ini juga,
PAS yang kelihatan enggan berpisah dengan DAP sedangkan DAP sudah pernah
mengugut untuk keluar pakatan sekiranya PAS terus mempertahankan Negara Islam
dan Hudud. Tetapi,
PAS tidak pernah mengugut keluar pakatan sekiranya DAP terus mempersoalkan
Islam. Sebaliknya, PAS
sering menganggap kenyataan DAP adalah kenyataan peribadi pemimpin tertentu dan
enggan mencari gaduh dengan parti itu. Selamanya,
PAS yang terus mengalah, mengharapkan kesetiaan DAP kepadanya.
Kini setelah DAP berada dalam
kelambu yang sama, Haron Din pula yang berpura-pura baru tersedar. Apakah Ulama ini selama ini
buta?
Jika beliau boleh melihat
makhluk halus yang manusia biasa tidak dapat lihat, kenapakah beliau tidak
boleh melihat makhluk ‘kasar’ iaitu Karpal Singh di dalam kelambunya? Atau Kit Siang dan Guan Eng di
dalam kelambu PAS? Hanya
kerana mereka berwajah Mat Sabu, mereka tetap Kit Siang, Guan Eng dan juga
Karpal berdasarkan tindak tanduk dan kenyataan yang dibuat. Apakah Haron Din tidak nampak mereka
di sebalik wajah Mat Sabu itu sedangkan seluruh negara boleh melihatnya?
Itu belum lagi Ambiga
Sreevanesan atau mungkin juga Bridget Welsh yang didakwa sebagai agen CIA yang
juga pernah dijemput masuk dalam kelambu PAS. Apakah Haron Din terlepas pandang akan
mereka juga?
Hakikatnya, kelambu PAS itu
sudah koyak. Semua orang
boleh melihat apa yang berlaku di dalamnya termasuk hubungan terlarang mahupun
songsang.
Kebusukan PAS sudah terdedah
luas dan tidak hairanlah apabila Karpal menyuruh PAS membuang saja nama agama
pada parti. Sememangnya, PAS sudah terlalu jauh dari landasan Islam.
1 comment:
Dato' Haron Din should leave PAS before ya'tiyakal yakin.
Post a Comment