Sebelum Lim Guan Eng tergopoh-gopoh menyalahkan UMNO, ROS, mahupun komputer atau pun cuaca sekali pun atas kontroversi yang melanda pemilihan CEC, eloklah beliau meneliti sejenak fakta isu ini agar tidak perlu menutup malu dengan cara yang memalukan juga.
Secara dasarnya, pemilihan CEC telah berlaku 3 kali. Iaitu kali pertama di mana keputusan dikatakan telah tersalah kira kerana kesilapan komputer.
Kali kedua adalah sebenarnya ‘kiraan semula’ undi yang berakhir dengan keanehan di mana kiraan undi untuk beberapa perwakilan menyaksikan perbezaan yang tinggi, sedangkan perwakilan lain tidak pula banyak bezanya. Kiraan ini didapati tidak menepati masalah matematik yang kononnya berpunca dari komputer. Kemudian, terdapat juga aduan kepada ROS bahawa 753 perwakilan telah tidak menerima notis mesyuarat sekali gus dinafikan hak mengundi.
Kali ketiga merupakan pemilihan semula pada September lalu yang menyaksikan senarai pemenang yang sama. Pun begitu, ia tetap penuh dengan kontroversi apabila lebih ramai perwakilan yang ‘hilang’ berbanding sebelumnya. Turut didapati begitu ramai calon menarik diri saat akhir selain kes pengundi hantu di mana mereka yang dipecat juga telah mengundi. Antaranya ialah Jenice Lee dan juga David Dass.
Pemecatan mereka berdua ini pula bukannya kerana melanggar disiplin parti tetapi kerana mempersoalkan tindakan kepimpinan sahaja. Jelas sekali, bahawa kepimpinan DAP tidak boleh dipersoal dan jauh sekali ditegur. Jika sebarang kesilapan atau kesalahan mereka didedah, maka pecatlah jawabnya.
Untuk itu, David Dass hari ini mendedahkan bahawa beliau telah dipecat serta merta pada 2 Julai lalu kerana mempersoalkan tindakan kepimpinan dalam isu pemilihan CEC tetapi telah turut membuang undi pada 29 September lalu bagi memilih senarai CEC. Beliau juga menunjukkan surat pemecatan beliau yang bertarikh 7 Oktober 2013 yang diterimanya pada 10 Oktober 2013.
Kita tidak faham kenapa begitu sukar untuk DAP mengadakan pemilihan dengan teratur? Susah sangatkah untuk menghantar notis dan memastikan kehadiran mahupun memecat mana-mana ahli mengikut prosedur?
Apakah DAP benar-benar begitu bodoh sekali?
Bayangkan, hampir setahun, iaitu sejak Disember tahun lalu sehingga Oktober tahun ini, DAP masih belum dapat menyelesaikan isu undi yang hanya melibatkan 2000 lebih perwakilan. Inikah yang dikatakan ‘cekap’?
Kes perwakilan tidak menerima notis tidak terjawab, dan kemudian kes perwakilan ‘hilang’ juga tidak terjawab. Inikah yang dikatakan ‘telus’?
Begitu juga apabila aduan dibuat, pemimpin DAP langsung tidak menyiasat malah enggan mengaku salah pula. Inikah yang dikatakan ‘amanah’?
Lim Guan Eng sering menafikan tuduhan bahawa beliau adalah penipu, kuku besi, korup dan rasis. Tetapi, beliau tidak mampu pula membentangkan hujah untuk menjawab semua persoalan mudah di atas.
Satu-satunya hujah yang beliau tahu adalah menyalahkan UMNO, ROS dan segala-galanya yang berkaitan kerajaan atau Melayu. Dan satu-satunya tindakan yang beliau mampu lakukan untuk menangani kesilapannya ialah dengan memecat orang yang mengkritiknya. Inikah yang dikatakan sebagai ‘bijak’ dalam konteks DAP?
Memandangkan pemilihan semula CEC juga penuh dengan persoalan yang tidak berjawab, mungkinkah DAP perlu membuat pemilihan semula sekali lagi?
Jika tidak, maka integriti DAP akan selama-lamanya dipersoal serta barisan kepimpinan CEC tidak akan dihormati oleh lawan, mahupun ahli-ahli sendiri.
No comments:
Post a Comment