Umno Wilayah Persekutuan akan menyokong penuh
gandingan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengekalkan jawatan presiden serta timbalan presiden pada pemilihan parti Oktober ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagaimanapun berkata bagi kedudukan naib presiden, rata-rata anggota di kawasan itu mahu jawatan tersebut ditandingi.
"Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan akan menyokong penuh gandingan Najib serta Muhyiddin bagi jawatan presiden dan timbalan presiden. Itu tiada masalah. Tapi bagi jawatan naib presiden, yang kita risik-risik mereka (anggota parti) hendak ada pertandingan.
"Sebagai Setiausaha Agung, saya harap kalau boleh kekalkanlah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal," katanya berucap pada majlis berbuka puasa bersama Muhyiddin di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, setiausahanya Datuk Syed Ali Al-Habshee dan anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani.
Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata slogan Asal Bukan Umno (ABU) yang digunakan pembangkang untuk menentang parti itu tidak berkesan dan ditolak masyarakat Melayu.
"Bukan 'Asal Bukan Umno', yang sebenarnya 'Allah Berkati Umno," katanya disambut tepukan gemuruh tetamu yang hadir.
Anggota Parlimen Putrajaya itu berkata ia terbukti apabila Umno menang 88 kerusi pada pilihan raya umum ke-13 lepas, berbanding 79 kerusi pada 2008, malah masih mampu mengekalkan kerusi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut baru-baru ini.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment