Seronok lepak bersama kawan-kawan di restoran mamak. Minum kopi atau teh tarik sambil sembang pasal bola. Mata pula tengok TV yang sedang dipasang, ada siaran langsung Filipina dengan Singapura. Kadang-kadang ada rakan yang buat lawak dan suasana menjadi gamat dan riuh dengan gelak ketawa. Orang dimeja lain memandang tapi masing-masing buat selamba seolah macam tiada apa-apa. Anak-anak dan isteri pula berperang dirumah, isteri menjadi angin dengan perangai anak-anak yang nakal dan membuat rumah menjadi macam tongkang pecah. Suami masih melayan aktiviti TT bersama rakan-rakan yang lama sudah tidak berjumpa.
Balik rumah pula isteri menyambut dengan gembira walaupun leteran terkadang berbisa ditelinga bertanya mengapa lewat pulang dari kerja. Alasan suami ada urusan kerja yang perlu diselesaikan. Mesyuarat dan appointment sentiasa ada dan traffic jammed menyiksakan jiwa. Selepas mandi makan malam bersama, lauk dihidang memang menyelera. Tidak cukup sepinggan ditambah sepinggan dua, air tangan isteri memang terbaik. Lepas solat bersantai pula dengan keluarga, menonton TV ataupun movie, masing-masing senyap sunyi, kalau anak-anak bersuara disuruh diam.
Setelah penat bekerja selama 5 hari hujung minggu kembali menjelma, menjadi penyelamat kepada jiwa yang lara, dengan pelbagai masalah dan bebanan kerja. Masa bercuti bersama keluarga adalah saat yang penuh bahagia. Berjalan merata tempat kesini dan kesana. Air terjun, pantai, tanah tinggi, taman air ataupun apa sahaja pusat riadah akan menjadi tumpuan bagi menenangkan jiwa dan melupakan segala masalah yang melanda. Balik rumah upload dalam FB dan harap ramai yang like dan komen juga. Pulang kerumah sudah bercita dan buat perancangan lain pula, kemana hendak bercuti dimasa akan datang...mungkin keluar negara?
Kalau tidak bercuti pula, keluarga dibawa ke pusat membeli-belah, shopping macam tak ingat dunia. Makan tengahari di restoran makanan segera, asalnya dari Amerika tetapi apa nak kisah, yang empunya dan pekerja juga orang kita, jadi apa salahnya? Lepas makan tengok wayang di TGV, layan cerita perang dari Hollywood. Kisah Amerika menyerang Libya ataupun sesiapa yang menjadi musuh mereka, siapa lagi kalau bukan seagama dengan kita, yang mereka panggil penjenayah ataupun terrorist. Waktu solat entah kemana, tidak mengapa, lepas habis movie, waktu Zohor masih ada.
Disebelah sana, diluar negara lain pula ceritanya, di Syria ataupun di Gaza. Satu keluarga sedang makan bersama, apa sahaja makanan yang ada, roti keras dan air kosong sahaja, buat melapik perut yang kosong sudah beberapa lama. Sedang asyik mereka menjamah makanan, bedilan missile menggegarkan bangunan apartment tempat tinggal mereka. Suasana menjadi riuh gempita, bekalan elektrik terputus pula menjadikan keadaan gelap gelita. Yang kelihatan hanya asap dan bau sulphur yang kuat. Anak-anak menjerit ketakutan, si ibu mencari dimana anak-anaknya, si ayah memapah seorang anaknya yang sudah tidak bermaya, dengan wajah berlumuran darah dan nafas sudah tiada.
Diluar bangunan suasana sunyi seperti dilanggar geruda. Manusia berjalan terhoyong-hayang, bukan kerana mabuk tetapi kerana bingung melihat runtuhan bangunan dan mayat bergelimpangan disina-sana. Hendak menangis air mata pula sudah kering. Didalam hati hanya menyebut Allahu Akbar Allahu Akbar kerana api membakar disini sana. Kalau kita melihat dikaca TV seperti sebuah filem ataupun cerekarama, dengan pelakon yang memang hebat walaupun tanpa suara. Namun itu bukanlah lakonan tetapi hakikat yang berlaku sebenarnya, mereka diserang dan dianiaya tanpa belas dan perikemanusiaan. Ya Allah Engkau bantulah mereka.
Dunia bagi mereka sudah tidak punya erti atau maknanya. Wang ringgit juga tiada nilanya bagi mereka. Kalimah Laailahaillallah sentiasa bermain dibibir kerana tidak tahu bilakah ajal akan menjelma. Tawakkal hanya kepada Allah, harap hanya kepada Allah kerana sudah tiada siapa tempat mengadu atau meminta. Suatu masa dahulu kehidupan mereka seperti biasa, seperti kita juga tetapi sekarang kehidupan mereka luar biasa bagi kita tetapi sudah menjadi biasa bagi mereka. Bagaikan telur dihujung tanduk, itulah nyawa mereka yang sudah tiada nilainya bagi musuh yang zalim dan ganas. Siapakah pengganas yang sebenarnya kita atau mereka?
Sungguh jauh bezanya kehidupan kita di Malaysia dan di Syria dan di Gaza. Kita seronok melihat rancangan Muzik-Muzik dan Vokal Bukan Sekadar Rupa tetapi muzik bagi mereka adalah letupan bom dan peluru berpandu seperti hujan dan gegak gempita yang memekakkan telinga. Kita enak menjamu selera dengan nasi beriyani, sate, burger dan ayam panggang sedangkan mereka hanya makan apa yang ada. Kita bersedih dan susah hati bila anak-anak demam, selsema atau luka dijari terkena duri tetapi mereka bersedih kerana anak terbaring dengan kaki dan tangan putus, wajah berlumuran darah dan perut terburai. Kita seronok melawat saudara mara, jiran dan keluarga sedangkan mereka mengusung jenazah saudara dan keluarga yang terkorban setiap hari. Kita bangun pagi tanya hendak masak apa dan buat apa sedangkan mereka tidur dan tidak yakin akan sempat melihat dunia adakah besok bakal menjelma
Faisal Mansor
No comments:
Post a Comment