KL CHRONICLE: #DemiRakyat #WilayahPrihatin Barisan Nasional sediakan perkhidmatan bas sekolah percuma bagi penghuni PPR

Monday, September 26, 2016

#DemiRakyat #WilayahPrihatin Barisan Nasional sediakan perkhidmatan bas sekolah percuma bagi penghuni PPR



Kementerian Wilayah Persekutuan sedang berbincang dengan syarikat operator bas Nadi bagi mengendalikan perkhidmatan bas percuma kepada anak-anak penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara bermula tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pengoperasian bas itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat itu dengan kosnya ditanggung sepenuhnya oleh kementerian.



"Sekiranya bersetuju, bas-bas sekolah percuma itu akan diselaraskan dengan warna dan tema tertentu khusus untuk kegunaan anak-anak penghuni PPR sahaja," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Apartment Seri Ceria 1 dan 2 kepada warga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Katanya selain itu, perkhidmatan bas percuma ke stesen-stesen tren juga akan turut dibincangkan dengan operator bas itu bagi kemudahan penghuni-penghuni PPR.

Sementara itu, DBKL telah menawarkan sebanyak 632 unit rumah kos rendah di Blok G dan H PPR Pinggiran Bukit Jalil yang diberi nama Apartment Seri Ceria kepada kakitangan yang layak bagi membantu mereka mendapatkan kediaman mampu milik.

Terdahulu, Tengku Adnan dalam ucapan perasmiannya berkata, sehingga kini sebanyak 522 unit telah ditawarkan kepada pembeli melalui sumber pembiayaan pinjaman Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam, Pinjaman Bank dan Tabung Simpanan KWSP.

"DBKL juga telah menetapkan harga rumah tersebut pada RM42,000 seunit dengan keluasan 650 kaki persegi yang mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

"Pemilihan unit kepada kakitangan DBKL ini telah dibuat secara undian dan seterusnya surat tawaran dikeluarkan pada Ogos lepas," katanya.

Katanya, selain itu projek perumahan yang telah dijual kepada kakitangan DBKL sehingga kini ialah di Apartment Mutiara Magna, Kepong sebanyak 330 unit dan Apartment Warisan City View, Jalan Cheras sebanyak 144 unit.

Dalam perkembangan lain Tengku Adnan berkata, 12 parkir bertingkat PPR yang bakal siap pada tahun depan akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, dewan komuniti, kedai runcit dan medan selera bagi keselesaan penghuni.

Projek yang keseluruhan bernilai RM408 juta itu melibatkan PPR Pekan Kepong, PPR Intan Baiduri, PPR Raya Permai, PPR Seri Pantai, PPR Kampung Baru Air Panas, PPR Hiliran Ampang Taman Mulia, PPR Desa Tun Razak, PPR Desa Petaling, PPR Semarak, PPA Desa Rejang, Seri Kota dan Seri Sabah.-BERNAMA

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/bas-sekolah-percuma-untuk-anak-anak-penghuni-ppr-1.386742#sthash.gyr1uFDb.dpuf

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget