KL CHRONICLE: Letupan bom dipercayai bermula di restoran Starbucks #KamiTidakTakut #PrayforJakarta

Thursday, January 14, 2016

Letupan bom dipercayai bermula di restoran Starbucks #KamiTidakTakut #PrayforJakarta

Kejadian letupan di Sarinah Thamrin di Jakarta pagi tadi dipercayai bermula di Restoran Starbucks di Gedung Cakrawala, yang terletak di persimpangan Jalan MH Thamrin/Jalan Wahid Hasyim, kata polis Indonesia. – Gambar Reuters, 14 Januari, 2016.

Kejadian letupan di Sarinah Thamrin di Jakarta pagi tadi dipercayai bermula di Restoran Starbucks di Gedung Cakrawala, yang terletak di persimpangan Jalan MH Thamrin/Jalan Wahid Hasyim.

Ketua Bahagian Hubungan Manusia Markas Besar Polis Republik Indonesia Anton Charliyan berkata siasatan awal mendapati ledakan pertama berlaku dalam Restoran Starbucks dan dilakukan sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.



Katanya, setelah berlaku letupan itu, anggota polis berhampiran bergegas ke tempat kejadian dan mendapati restoran berkenaan dalam keadaan berselerakan manakala kumpulan itu juga cuba menculik 2 warga asing.

"Setelah mengetahui kehadiran polis, mereka kemudian melemparkan bahan peledak ke arah pondok polis," katanya seperti yang dipetik media dalam talian tempatan.

Beliau berkata 2 penjenayah yang melakukan ledakan itu adalah antara yang mati dalam kejadian 10.50 pagi tadi itu.

Anton berkata pada masa sama, 3 lagi lelaki melepaskan tembakan ke arah polis di luar restoran berkenaan.

"Seorang menggunakan senapang laras pendek di Starbucks dan 2orang melepaskan tembakan di luar Starbucks," katanya.

Kedua-dua lelaki terbabit mati di dalam dan di luar restoran itu dengan membunuh diri menggunakan bom.

Beliau berkata serangan bom dalam restoran itu dirancang dan mereka meletupkan bom yang kecil dulu untuk menimbulkan huru-hara serta menarik perhatian orang untuk keluar dari kawasan bangunan berkenaan.

Mereka kemudiannya melemparkan bom lebih besar ke arah luar, pondok polis dan kawasan parkir, katanya.

Anton berkata selepas berbuat demikian, 3 lagi lelaki anggota kumpulan terbabit bertempur dengan polis dan akhirnya mereka mati ditembak.

Beliau berkata polis mendapat maklumat mengenai ancaman pengganas di ibu kota, lalu menempatkan ramai anggotanya membuat rondaan di Jalan MH Thamrin.

"Kita juga tempatkan beberapa anggota yang memakai baju preman dan sempat berbalas tembakan di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan kumpulan lelaki itu pengganas Daesh di negara itu.

Dalam kejadian serangan bom dan senjata api itu, 7 maut termasuk 5 suspek pengganas itu.

Dua orang awam yang terkorban ialah seorang rakyat tempatan dan seorang rakyat Kanada yang secara kebetulan berada di dalam Restoran Starbucks berkenaan manakala puluhan lagi termasuk 5 anggota polis dilaporkan cedera termasuk ada yang parah.

Sementara itu, semua Restoran Starbucks di Jakarta akan ditutup mulai hari ini sehingga ke tarikh yang diumumkan kelak.

"Semua Starbucks di Jakarta akan ditutup hingga pemberitahuan lanjut. Kami akan terus memantau situasi ini dengan saksama," kata kenyataan pengurusan Starbucks seperti yang dipetik CNN Indonesia. – Bernama, 14 Januari, 2016.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/letupan-bom-dipercayai-bermula-di-restoran-starbucks#sthash.R4K2Ol5A.dpuf

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget