KL CHRONICLE: Kini SPRM Tahan 3 Lagi Kutu kerana terima rasuah #Bauksit

Saturday, January 9, 2016

Kini SPRM Tahan 3 Lagi Kutu kerana terima rasuah #Bauksit



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 3 lagi individu termasuk seorang wanita, yang dipercayai terlibat dalam pembayaran wang rasuah bagi melindungi perlombongan bauksit secara haram di Kuantan, Pahang.



Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata, ketiga-tiga individu terbabit ditahan secara berasingan di sekitar Kuantan antara jam 4 petang hingga 11.55 malam, semalam.

"Semua mereka yang berusia antara 44 dan 50 tahun itu merupakan orang awam.


"Mereka dipercayai berperanan sebagai orang tengah dalam aktiviti penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau Borang 13D secara haram kepada pelombong-pelombong tidak berlesen.

"Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, SPRM masih giat menjalankan siasatan bagi mengesan mereka terbabit dalam jenayah rasuah sehingga menyebabkan berlakunya kegiatan perlombongan haram dan ketirisan yang dianggarkan bernilai RM187 juta dari segi hasil kutipan royalti tahun lalu.

"Kami menyeru orang ramai agar memberi maklumat kepada SPRM berhubung individu yang terlibat memberi serta menerima rasuah dalam isu perlombongan bauksit secara haram," katanya.

Semalam, Azam berkata, SPRM menerima berpuluh-puluh aduan mengenai aktiviti perlombongan bauksit di Pahang, tetapi kebanyakannya daripada pengadu yang tidak mahu dikenali sehingga sukar badan anti rasuah itu meneruskan siasatan.

Katanya, kesukaran mendapatkan saksi dan maklumat yang kukuh daripada aduan-aduan ini juga menyebabkan siasatan pihaknya terhadap dakwaan rasuah di sebalik aktiviti perlombongan itu menjadi perlahan.

"Kami menerima banyak surat dan aduan. Lebih daripada sedozen, boleh saya katakan, sejak beberapa bulan yang lalu. Tetapi pengadu tidak memberi nama penuh mereka.

"Tidak ada bukti yang dilampirkan seperti gambar atau dokumen. Jadi, ia nampak seperti lebih kepada bercerita.

"Sukar bagi kami menjalankan siasatan tanpa terlebih dahulu ada maklumat kukuh untuk mula jalankan kerja," katanya.

Terdahulu, The Malaysian Insider melaporkan 4 kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan, Pahang ditahan kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah dari pelombong bauksit tidak berlesen di negeri ini, kelmarin.

Nilai wang rasuah yang terlibat ialah RM100,000, kata Azam.

Rasuah disyaki diperoleh melalui penjualan dokumen pemindahan bijih mineral atau Borang 13D secara haram kepada pelombong tidak berlesen.

"Antara yang ditahan ialah seorang pegawai penguat kuasa kanan," kata Azam pada satu sidang media di pejabat SPRM Pahang, kelmarin.

Empat individu itu, berusia antara 30 dan 38 tahun, disyaki melindungi kegiatan haram pelombong tersebut daripada diambil sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap mereka.

Mereka ditahan di rumah mereka sekitar Kuantan dalam operasi selama tiga jam yang berakhir jam 9 malam, pada Rabu lalu.

"(Dalam serbuan itu) kami mendapati sejumlah besar wang tunai disembunyikan dalam mesin basuh pegawai kanan itu, dipercayai wang rasuah," katanya. – 9 Januari, 2016.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget