KL CHRONICLE: Dewan Rakyat lulus cadangan persempadanan semula pilihan raya Sarawak

Wednesday, December 2, 2015

Dewan Rakyat lulus cadangan persempadanan semula pilihan raya Sarawak



Laporan kajian persempadanan semula pilihan raya Sarawak yang dibentangkan pagi tadi pada sesi Dewan Rakyat di Parlimen diluluskan melalui undi belah bahagi memihak kepada kerajaan petang ini. 

Speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia membuat keputusan itu apabila majoriti 130 ahli Parlimen mengundi menyokong laporan itu diluluskan, sementara 72 ahli Parlimen  pembangkang menolak usul yang dibawa kecuali Ahli Parlimen PAS. 



"Keputusan belah bahagi ialah, ahli tak setuju 72 orang, ahli-ahli bersetuju 130 orang. Jadi, bermakna ini lebih daripada 112 ahli.

 "Kerana tidak kurang setengah ahli Parlimen mengundi menyokong usul ini, maka usul ini dipersetujukan," kata Pandikar. 

Sebelum itu, ucapan penggulungan perbahasan laporan itu dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga ahli Parlimen Pekan, membentangkan usul itu pada 11.30 pagi tadi selepas Dewan Rakyat selesai sesi soal jawab lisan.

Laporan itu antara lain mencadangkan penambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) meliputi Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

Selain itu, ia turut mengesyorkan pindaan nama kerusi Parlimen Mambong kepada Puncak Borneo, manakala nama 4 kerusi DUN dipinda daripada Bengoh kepada Mambong, Batang Air kepada Bantang Ai, Belawai kepada Kuala Rajang, dan Kidurong kepada Tanjung Batu.

Ketika membentangkan rang undang-undang itu, Najib turut berkata, proses itu turut menerima sebanyak 85 bantahan, berbanding kajian semula persempadanan terdahulu yang hanya menerima 36 bantahan. – 2 Disember, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget