KL CHRONICLE: Kini Haji Hadi cabar Husam sumpah talak buktikan pembentukan kerajaan PAS-Umno

Sunday, November 15, 2015

Kini Haji Hadi cabar Husam sumpah talak buktikan pembentukan kerajaan PAS-Umno



Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mencabar pemimpin PAS pro-DAP Husam Musa untuk bersumpah talak isteri bagi membuktikan dakwaannya berhubung usaha pembentukan kerajaan antara PAS dan Umno di Selangor.



Sambil menafikan dakwaan Husam, presiden PAS itu menyifatkan ianya sebagai satu yang ketinggalan zaman.

"Biarlah dia sumpah. Biarlah dia bersumpah.

"Kalau apa yang dia kata itu betul, kami berbohong mesti dia bersumpah," katanya kepada pemberita di majlis "Hi-Tea Konvensyen Jelas Bersama Presiden" di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor hari ini.

Hadi berkata, usaha pembentukan kerajaan PAS dengan Umno merupakan isu 70-an ketika parti Islam itu menyertai Barisan Nasional (BN).

"Dia ketinggalan zaman. Itu isu 70-an. Kerajaan perpaduan itu bukan masuk BN.

"Kerajaan perpaduan (pada 2008) itu semua parti dalam kerajaan. Itu yang kita usahakan tahun 2008. Tapi kerana banyak pihak tak setuju tak jadilah. Bukan masuk BN," katanya.

Husam yang dilihat sebagai pemimpin Pro-DAP sebelum ini menegaskan kononnya sanggup bersumpah talak isteri bagi membuktikan kenyataannya itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu berkata demikian ketika menjawab soalan di majlis “Demo Tanya, Ambo Jawab” di Kota Baru, Kelantan, malam kelmarin.

Haji Hadi dalam penjelasannya hari ini menegaskan berulang kali kerajaan perpaduan bersama BN tidak akan berulang, namun kerjasama PAS dengan gabungan pemerintah itu akan tetap berjalan.

"PAS tidak akan masuk BN tapi akan ada kerjasama. Kerjasama itu biasa. Kita tak terikat," katanya.

Katanya, definisi kerjasama yang dimaksudkan itu ialah kerjasama seperti sekiranya terdapat pencerobohan negara asing ke atas Malaysia, dari segi menangani jenayah, dadah dan pelarian.

Berhubung status Husam dalam parti Islam itu, Hadi menyerahkannya kepada PAS Kelantan sama ada pemecatan akan dilakukan. – 15 November, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget