KL CHRONICLE: Akibat ditekan, Pemimpin DAP Pulau Pinang letak jawatan

Wednesday, November 25, 2015

Akibat ditekan, Pemimpin DAP Pulau Pinang letak jawatan

Adun Tanjung Bungah, Pulau Pinang Teh Yee Cheu meletakkan jawatannya sebagai setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang selepas menyokong usul yang dibawa Barisan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insider, 25 November, 2015.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah, Pulau Pinang Teh Yee Cheu meletakkan jawatannya sebagai setiausaha organisasi DAP Pulau Pinang selepas diberi tekanan oleh kepimpinan DAP negeri dan pusat. 

Setiausaha DAP negeri Lim Hui Cheu memaklumkan peletakan jawatan Teh daripada jawatan itu hari ini, berkuatkuasa 23 November.



"Dalam surat peletakan jawatannya, Teh Yee Cheu memaklumkan dia memutuskan untuk meletak jawatan ekoran sokongan beliau kepada usul Umno tentang penambakan laut dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang 20 November lalu," kata Lim dalam satu kenyataan.

Teh juga berkata beliau bersedia menerima tindakan disiplin partinya.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo semalam menuntut Teh memohon maaf dan mengatakan ia boleh dijadikan faktor rayuan dalam hukuman terhadapnya.

DAP Pulau Pinang yang dipimpin Lim Guan Eng, dikritik kerana tidak membenarkan Adun mereka membuat undi berdasarkan pandangan peribadi dan kepentingan rakyat.

Usul yang disokong Teh asalnya dibawa Adun BN, Muhamad Farid Saad yang meminta kerajaan negeri membuat pendengaran awam terhadap projek penambakan laut.

Farid juga menuntut projek baharu penambakan laut digantung sehingga kajian lanjut dijalankan bagi memastikan tiada kesan buruk ke atas alam sekitar disebabkan projek tersebut, serta membatalkan projek yang membawa kesan negatif kepada alam sekitar.

Usul ini ditolak selepas gagal mendapat sokongan majoriti. Hanya 10 Adun menyokongnya – 9 daripada BN dan seorang daripada DAP, manakala 23 dari Pakatan Harapan menentangnya.

Namun 5 Adun daripada PKR tidak mengundi, tindakan yang menyebabkan kontroversi dalam kerajaan negeri dan menjejaskan hubungan DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan.

Lima Adun PKR yang tidak mengundi adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Lee Khai Loon (Machang Bubuk), Dr T Jayabalan (Batu Uban) dan Dr Norlela Ariffin (Penanti).

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil semalam menjelaskan, partinya berpuas hati dengan penjelasan 5 Adun tersebut.

Fahmi berkata, undi berdasarkan pandangan peribadi adalah biasa dalam dunia demokrasi dan sepatutnya digalakkan.

Bagaimanapun Jagdeep berkata, Pulau Pinang membenarkan Adun memberikan pandangan mereka dan tidak akan menghalang mereka daripada memberikan pendapat, namun berbeza apabila mengundi dalam hal pentadbiran.

"Tetapi apabila datang pengundian dalam isu pentadbiran, mereka patut bersama kerajaan negeri," katanya.

Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow juga mempertikaikan kenapa mereka tidak membahaskan usul itu jika mereka mahu menyampaikan pandangan mereka. – 25 November, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget