KL CHRONICLE: UMNO Pelawa Runding Hudud, PAS Wajib Terima Kata Hadi Awang

Sunday, April 12, 2015

UMNO Pelawa Runding Hudud, PAS Wajib Terima Kata Hadi Awang



Susulan pelawaan rundingan Umno berkenaan hukum Islam, hudud, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti Islam itu wajib menerimanya dan mengetepikan pandangan mereka sedang ditipu.



Hadi sebaliknya berkata, ‘ikhlas’ adalah urusan Allah dan mereka wajib menerima pelawaan rundingan Umno.

"Ikhtilaf (berbeza pendapat) boleh, membantah hukum tidak boleh. Sebab itu dalam menangani isu ini, DAP tidak setuju, mintak ditangguh sejak 20 tahun, sedangkan kita nak hukum orang Islam saja, kita pilih pandangan ulama, (berkenaan) hukum orang Islam.

 "Dia nak ganggu juga. Umno ajak kita berunding, wajib kita berunding, ada yang kata dia (Umno) nak tipu, tipu itu urusan Allah, kita anggap semuanya ikhlas, jangan kita campur urusan ikhlas ini," kata Hadi, ketika berucap dalam Program Nadwah Fiqh Ikhtilaf, di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam, hari ini.

Hadi berkata, dengan pelawaan Umno itu, PAS membuka peluang rundingan.

"Bila ada orang itu terima, zahirnya, kita terima, maka rundingan dibuat mengikut ijtihad," katanya, di depan lebih 300 peserta program dialog anjuran Pemuda PAS itu.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, hudud yang dibawa PAS dan cuba dilaksanakan di Kelantan itu berbeza daripada undang-undang Islam yang diguna pakai kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) serta Taliban.

"Kita melaksanakan hukum ini bukan macam Isis, Taliban, mereka menegakkan negara tanpa asas Islam yang kukuh, belum apa-apa hukum bunuh, ini bukan Islam," katanya.

Beliau berkata, terdapat ulama dalam PAS yang mampu mengendalikan perkara itu, lebih-lebih lagi kerana mempunyai Majlis Syura Ulama.

"Ada ulama yang boleh kendalikan isu ini, PAS ada Majlis Syura Ulama yang boleh berijtihad, dalam mengendalikan hukuman ini perlu kepada kepakaran.

"Majlis syura boleh panggil doktor pakar, sebab itu kita boleh tangani ikhtilaf ini dengan sebaik-baiknya.

"Perkara manusia tidak boleh fikir, perlu lihat hukum Allah, perkara manusia boleh fikir, kita serah kepada rakyat,” katanya.

Hadi sebelum ini membawa usul persendirian Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2015 ke Dewan Rakyat, dalam usaha bagi meminda kuasa Mahkamah Syariah untuk membolehkan Enakmen Jenayah Syariah II di Kelantan dilaksanakan.

Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan enakmen berkenaan pada 19 Mac lalu, yang meliputi pelaksanaan hukuman hudud.

Hadi bagaimanapun menghantar notis kepada Dewan Rakyat, sehari sebelum enakmen berkenaan diluluskan, untuk membolehkan rang undang-undang persendirian ahli bukan kerajaan yang dibawanya dapat dibentangkan dalam sesi Dewan yang tamat pada Khamis lalu.

Susulan tindakannya itu, DAP memutuskan hubungan secara rasmi dengan Hadi, namun mengekalkan tahaluf siyasi mereka dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, bersama PKR.

Hadi bagaimanapun perlu mengemukakan usul semula kepada Dewan Rakyat untuk membawa rang undang-undang persendirian berkenaan ke Parlimen pada sesi akan datang yang bermula pada 18 Mei, berikutan usul itu tidak dapat dibentangkan pada sesi kali ini

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget