KL CHRONICLE: #TahukahAnda Sebab Mengapa PRK Rompin diadakan lebih awal daripada Permatang Pauh?

Friday, April 10, 2015

#TahukahAnda Sebab Mengapa PRK Rompin diadakan lebih awal daripada Permatang Pauh?


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin akan diadakan pada 5 Mei susulan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam satu tragedi helikopter terhempas Sabtu lalu.



Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Menjawab mengapa tarikh PRK tidaj dilakukan serentak dengan PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, beliau menegaskan tarikh tersebut tidak sesuai kerana ia merupakan cuti umum untuk negeri Pahang.

Memetik kata-kata Tan Sri Abdul Aziz;

"Ia tak menghalang SPR untuk mengadakannya lebih awal daripada Permatang Pauh, asalkan ikut syarat-syarat dalam Malaysia dan undang-undang yang lain.

"Pada asalnya nak adakan serentak pada 7 Mei, tapi bagi negeri Pahang ia Hari Hol, iaitu cuti umum untuk negeri itu, dan banyak program yang diatur dari tengah hari dan sebelah malam melibatkan pihak istana, ketua jabatan.

"Kalau diadakan pada tarikh itu, ia tidak sesuai," katanya.

Sementara itu, hari penamaan calon ditetapkan pada 22 April dan pengundian awal pada 30 April, kata Aziz.

Writ dan notis pilihan raya dikeluarkan hari ini manakala tarikh tutup bagi permohonan undi pos dalam negara ialah pada 25 April dan luar negara pada 22 April.

Aziz berkata kawasan itu mempunyai 53,294 pemilih berdaftar.

"Daftar pemilih itu terdiri daripada 52,744 pemilih biasa, 545 pemilih awal dan lima orang pengundi tidak hadir luar negara," katanya.

Aziz berkata, selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan wujud kekosongan luar jangka di kerusi Parlimen Rompin, dan bagi mengisi kekosongan itu, SPR mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada hari ini.

"SPR menetapkan satu PRK perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan yang diputuskan SPR pada 5 April," katanya.

Bagi tujuan menjalankan PRK Rompin, SPR yang bermesyuarat pada hari ini juga bersetuju melantik Pegawai Daerah dan Tanah Rompin Datuk Fadzilla Salleh sebagai pegawai pengurus pilihan raya yang akan dibantu lima penolong pegawai pengurus selain menubuhkan enam pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya.

Sebanyak 42 pusat mengundi akan dibuka bagi tujuan pengundian dan SPR akan menggunakan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi.

PRK Rompin adalah pilihan raya kecil kesembilan selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Jamaluddin mengekalkan kerusi kawasan tersebut yang disandangnya sejak 23 tahun lalu, apabila mengalahkan bekas Ketua Muslimat PAS Pusat Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi. – 10 April, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget