KL CHRONICLE: Akhirnya Jenazah Nik Aziz selamat disemadikan sebelah arwah bapa

Friday, February 13, 2015

Akhirnya Jenazah Nik Aziz selamat disemadikan sebelah arwah bapa



Ribuan rakyat memberikan penghormatan terakhir kepada bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan.

Solat jenazah untuk mursyidul Am PAS itu diadakan  tepat jam 10 pagi dengan diimamkan oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan diadakan sekali sahaja.



Jenazah beliau kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka dengan diusung oleh ahli keluarganya.

Jenazah selamat dikebumikan sekitar jam 11.30 pagi bersebelahan dengan kubur bapanya, Nik Mat Raja Banjar, yang meninggal dunia kira-kira 40 tahun lalu, lapor Bernama.

Turut hadir pada solat akhir bagi tokoh ulama itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Beliau tiba sejurus selepas menteri besar Selangor Mohamed Azmin Ali tiba.

Hadi, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan ramai pemimpin PAS yang lain kemudian mengiringi jenazah ke tanah perkuburan.

Di antara yang pemimpin Pakatan Rakyat (PR) yang kelihatan memberi penghormatan bagi menatap wajah Nik Aziz buat kali terakhir adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan ramai lagi.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Setiausaha Agung Umno Datuk Tengku Adnan Mansor dan Datuk Seri Mustapha Mohamad juga hadir di samping pemimpin Pakatan Rakyat yang lain.

Hadir sama menyertai puluhan ribu umat Islam yang lain adalah Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainol Abidin, penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Don Daniyel.

Ketika semua pihak memandang wajah allahyarham buat kali terakhir secara bergilir-gilir, surah Al-Fatihah dibacakan tanpa henti.

Kelihatan hadir menziarahi jenazah Nik Aziz adalah Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abd. Wahid.

Orang ramai yang datang menziarahi terpaksa jalan kaki lebih dua kilometer kerana jalan ditutup untuk memudahkan pergerakan.

Enam buah bas ulang-alik disediakan di Stadium Sultan Mohamad untuk membawa orang ramai ke Pulau Melaka untuk menziarahi jenazah.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget