KL CHRONICLE: AZMI ABDUL AZIZ MULA TUGAS TERAJUI PRASARANA

Friday, January 2, 2015

AZMI ABDUL AZIZ MULA TUGAS TERAJUI PRASARANA


KUALA LUMPUR, 2 Januari -- Komited untuk meneruskan agenda transformasi di
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan sistem pengangkutan awam negara,
Encik Azmi Abdul Aziz hari ini memulakan tugas sebagai Pengarah Urusan Kumpulan
Prasarana yang baharu.

Sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Pembangunan, Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D.), Azmi menyifatkan tugas baru beliau sebagai
amat mencabar, tetapi berjanji akan melaksanakan amanah Kerajaan itu dengan sebaik mungkin.



“Bagi saya, pelantikan ini adalah satu amanah yang amat besar dan mencabar
dalam usaha untuk mengembang dan memperkasakan kegiatan serta nama baik
Kumpulan Prasarana secara berterusan.

“Amanat yang diberikan kepada saya antaranya adalah untuk meneruskan apa jua yang sedang berjalan dengan baik demi pembangunan sistem dan perkhidmatan pengangkutan awam negara,” katanya dalam satu perutusan kepada seluruh wargakerja Prasarana.Seorang tokoh  yang amat dihormati dalam industri pengangkutan awam dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam sektor awam dan swasta, Azmi mengambil alih tugas memimpin entiti yang diberi mandat oleh Kerajaan untuk memodenkan
sektor pengangkutan awam daripada Dato’ Sri Shahril Mokhtar, yang dilantik
sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT
Corp) yang baru.

Selain menjadi pemegang aset dan syarikat induk untuk pengendali perkhidmatan
LRT, monorel dan bas Rapid KL, Rapid Penang dan Rapid Kuantan, bidang urusan Kumpulan Prasarana, yang mempunyai kira-kira 7,500 wargakerja, turut meliputi
pakar runding dalam pengurusan projek dan kejuruteraan, pembangunan infrastruktur yang berkaitan dengan sistem pengangkutan awam, serta kegiatan
komersial untuk menghasil pendapatan bukan berasaskan tambang.

Kata Azmi: “Selaku pegawai yang pernah berkhidmat di S.P.A.D., saya berpendapat warga kerja Kumpulan Prasarana telah memainkan peranan yang amat besar dalam membangunkan infrastrukutur pengangkutan awam, di samping
menyediakan perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat.

“Aspirasi Kumpulan Prasarana telah tersebar secara meluas dan ianya amat terkenal di dalam industri ini, di peringkat pemegang taruh, penguatkuasa mahupun juga agensi-agensi pengangkutan awam darat di Malaysia.

“Cerita-cerita kejayaan Kumpulan Prasarana juga tidak kurang hebat
diperdengarkan di seluruh pelusuk industri dan negara, kerana ianya sentiasa
seiringan dengan objektif Kerajaan, menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

“Alhamdulillah, telah banyak kejayaan didengari dalam masa yang singkat ini, hasil
daripada daya usaha anda semua,” kata Azmi, yang, bagaimanapun, mengingatkan bahawa masih banyak yang perlu dilaksanakan dalam misi
memertabatkan industri pengangkutan awam negara.

“Perjalanan kita masih jauh,” tegas Azmi, yang menyenaraikan pelaksanaan projek-projek seperti penyambungan jajaran LRT (LEP) dan persediaan mengendalikan aset-aset baharu yang bakal diterima sebagai antara tugasan-tugasan yang terdekat.

Dalam konteks ini, beliau merujuk kepada baki sembilan tren 4-gerabak monorel yang kini dalam proses penghantaran dan juga bekalan 50 tren 6-gerabak untuk LRT Laluan Ampang, yang akan mula diterima bulan ini.

Antara perkara-perkara penting yang akan berlangsung pada 2015 ini adalah pelancaran projek Bas Rapid Transit – Laluan Sunway, yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini, pembukaan fasa pertama LEP Laluan Ampang pada Oktober ini dan kerja-kerja permulaan sebagai pakar runding untuk Mekah Metro, yang mana Prasarana menjadi operator sokongan.

Tambah Azmi: “Pelan strategik bagi perkhidmatan rel dan bas juga harus diteruskan bagi memantapkan perkhidmatan sedia ada, di samping bersiap sedia untuk mengembangkan perkhidmatan kita di bandar-bandar lain pada masa yang
bersesuaian.

“Di samping itu, kita juga harus memastikan kesinambungan dalam menekankan kepentingan pendapatan bukan tambang supaya ianya dapat membantu memperbaiki prestasi kewangan Kumpulan Prasarana,” tambah beliau.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget