Tuesday, May 26, 2020

Datuk Mohd @Razlanrafii : Lagi Kematian Angkara Pemandu Mabuk, Siapa Lagi Akan Mati Lepas Ini?



1. Mutakhir ini kita kerap terbaca dan mendengar berita kemalangan maut di jalan raya yang berpunca daripada pemandu yang memandu dibawah pengaruh alkohol. Malah, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini sahaja sudah terdapat beberapa kes kemalangan maut yang berpunca dari pemandu yang mabuk. 

2. Saya berpendapat, kini sudah tiba masanya kerajaan memperketat dan menambahbaik hukuman sedia ada terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian ini. Hukuman lebih berat dan setimpal wajar dikenakan kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol meskipun pertama kali melakukan kesalahan.


3. Saya menyambut baik kenyataan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dimana beliau memberi jaminan bahawa Kementerian Pengangkutan sedia meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain.

4. Saya juga percaya ramai lagi rakyat Malaysia di luar sana bersetuju agar pindaan RUU ini segera dilakukan bagi mendakwa ‘kaki mabuk’ sebagai kesalahan jenayah membunuh di bawah kanun keseksaan yang boleh dihukum gantung sampai mati.

5. Namun demikian, ianya harus dilakukan secepat mungkin kerana nampaknya kes – kes pemandu yang memandu secara mabuk sekaligus menyebabkan kemalangan maut terus meningkat. Pemandu – pemandu ini nampaknya tidak takut langsung akan undang – undang negara dan secara suka hati memandu secara mabuk sekaligus membahayakan orang ramai. 

6. Saya juga ingin memohon kepada pihak pengurusan serta bijak pandai syarikat operator jalan dan lebuhraya supaya melihat balik operasi mereka. Ini kerana, kebanyakan kes kemalangan maut juga melibatkan pemandu mabuk yang melawan arus. Oleh yang demikian, pihak operator lebuhraya harus memastikan jalan – jalan dibawah seliaan mereka diubahsuai, dipertingkatkan atau diperbaiki taraf keselamatan bagi mengelakkan kereta-kereta berjaya dipandu melawan arus sekaligus membahayakan pengguna jalan raya yang lain. 

7. Akhir sekali, harapan saya adalah supaya kerajaan tegas dan pantas dalam meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya yang lain. Jangan kita membuang masa kerana lagi lambat Akta 333 dipinda, saya khuatir lagi banyak kes kemalangan maut akan berlaku akibat dari tindakan tidak bertanggungjawab “kaki mabuk” di negara ini.

Terima Kasih

DATUK MOHD RAZLAN RAFII
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO
Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh

No comments:

Post a Comment