Baru - baru ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengeluarkan satu kenyataan media dimana SPAD KTMB untuk menggantung perkhidmatan kargo di sepanjang laluan Rawang-Salak Selatan. Arahan ini dikeluarkan susulan kejadian kegelinciran tren kargo KTMB di stesen Bank Negara, Kuala Lumpur. Akibat dari kejadian ini, ramai pengguna KTM mengalami gangguan perkhidmatan.
Bagi kami di #KLChronicle, kami bersetuju dengan arahan yang dikeluarkan oleh SPAD. Ini kerana selepas satu insiden yang serius seperti ini, siasatan menyeluruh harus dilakukan secara amat teliti bagi mengenal-pasti punca insiden berlaku. kami berpendapat KTMB bernasib baik kerana tren yang tergelincir merupakan tren kargo dan bukan tren yang membawa penumpang.
Cuba bayangkan jika tren yang tergelincir adalah tren yang membawa penumpang, sudah pasti mungkin kecederaan atau kemalangan jiwa akan berlaku. Ini merupakan satu perkara yang tidak boleh diambil ringan oleh mana - mana pihak. Oleh yang demikian, memang wajar SPAD mengambil tindakan untuk gantung operasi tren kargo KTMB sehingga siasatan insiden ini selesai.
Warga Kuala Lumpur sudah semestinya merasa perit akan insiden ini kerana operasi tren KTM Komuter juga telah terjejas. Umum ketahui bahawa KTM Komuter merupakan satu mod pengangkutan awam darat yang sangat popular dikalangan warga kerja dan apabila perkhidmatan ini terjejas, ianya mewujudkan satu situasi yang tidak baik atau positif untuk kerajan walhal perkara ini adalah atas kelemahan pihak KTMB sendiri.
Akhir sekali, kami juga bersetuju dengan pihak SPAD supaya KTMB mempercepatkan projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT). Projek ini sudah lama dan perlu disiapkan secepat mungkin memandangkan landasan sejauh 7km di antara Simpang Batu dan Stesen Kuala Lumpur kerana indeks kualiti landasan (track quality index) dalam sektor ini kurang memuaskan dan perlu dipertingkatkan dengan kadar yang segera.
KENYATAAN MEDIA SPAD
SPAD MENGARAHKAN KTMB UNTUK MENGGANTUNG OPERASI TREN KARGO SEPANJANG LALUAN RAWANG - SALAK SELATAN BERIKUTAN KEGELINCIRAN
KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2017 - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memandang serius kejadian kegelinciran tren kargo KTMB di stesen Bank Negara yang telah mengakibatkan ramai pengguna KTM mengalami gangguan perkhidmatan. Suruhanjaya menganggap bahawa kejadian itu tidak boleh diterima dan dengan itu telah mengarahkan KTMB bagi mempercepatkan siasatan serta mengemukakan laporan penuh mengenai insiden tersebut bagi mengenal pasti punca sebenar kegelinciran.
Sebagai langkah berjaga-jaga yang segera, SPAD telah mengarahkan KTMB untuk menggantung perkhidmatan kargo di sepanjang laluan Rawang-Salak Selatan sehingga siasatan dimuktamadkan. Di samping itu, SPAD telah menegaskan kepada KTMB untuk mengkaji semula dan memperbaiki prosedur pengendalian gerabaknya bagi memastikan keselamatan terjamin.
Suruhanjaya juga telah mengarahkan KTMB bagi mempercepatkan projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang bertujuan untuk menaik taraf rangkaian rel sepanjang 42km, terutamanya di landasan sejauh 7km di antara Simpang Batu dan Stesen Kuala Lumpur kerana indeks kualiti landasan (track quality index) dalam sektor ini perlu dipertingkatkan dengan kadar yang segera.
KTMB juga diminta untuk melakukan pemulangan tambang kepada penumpang ETS yang mengalami gangguan perjalanan serta ingin membatalkan perjalanan mereka. Ini bagi memastikan penumpang tidak menanggung sebarang kos tambahan bagi perkhidmatan MRT dan bas, di samping itu mereka juga boleh mengubah tarikh perjalanan. Penumpang yang terjejas berikutan gangguan perkhidmatan ini boleh menggunakan perkhidmatan rel alternatif seperti MRT di Sungai Buloh, Kajang, Muzium Negara, Pasar Seni dan LRT dari Subang Jaya.
KTMB juga akan memastikan penumpang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan dihubungkan ke Stesen Sungai Buloh menggunakan MRT sebelum beralih ke ETS untuk meneruskan perjalanan masing-masing. Di samping itu, SPAD telah mengarahkan KTMB untuk menyediakan perkhidmatan bas untuk perjalanan Sentul-KL Sentral-Sentul, sebagai satu alternatif perjalanan bagi penumpang yang terjejas.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, penumpang boleh menghubungi KTMB pada talian 03 - 22671200. Setelah penemuan siasatan dimuktamadkan, Suruhanjaya akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya, seperti mengambil tindakan tegas yang termasuk penalti kewangan sekiranya KTMB didapati cuai.
No comments:
Post a Comment