KL CHRONICLE: Label : Usah lepas tangan, pikul tanggungjawab

Thursday, February 9, 2017

Label : Usah lepas tangan, pikul tanggungjawab


Agensi-agensi kerajaan terbabit diminta tidak cuba lepas tangan dalam isu produk penjagaan diri, kecantikan dan kesihatan yang menggunakan label bahasa asing sehingga boleh mengelirukan pengguna, sebaliknya mengambil sikap lebih bertanggungjawab untuk menyelesaikannya.
Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff berkata, langkah tegas seharusnya diambil oleh mereka kerana perbuatan pengeluar atau pengedar produk berkenaan ter­nyata tidak menghormati peruntukan undang-undang sedia ada.


“Kita tidak mahu dengar lagi alasan-alasan seperti bukan tugas atau di luar bidang kuasa kementerian. Isunya sekarang, siapa yang meluluskan produk ini untuk dijual? Bagaimana boleh dapat kebenaran?
“Kalau premis perniagaan tidak boleh mengikut syarat dan spesifikasi ditetapkan, jangan sesekali jual sebab kesannya akan ditanggung oleh orang ramai yang tidak mengetahui kandu­ngan bahan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas ke­nyataan Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan, Dr. Salmah Bahri mengenai produk penjagaan diri, kecantikan dan kesihatan yang mesti dilabelkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Perkara itu juga terkandung dalam Akta Jualan Dadah 1952 dan hanya produk yang mengikut spesifikasi berkenaan dibenarkan dijual di pasaran tempatan.
Tambah Mustapa Kamal, produk yang menggunakan label bahasa asing bukan sahaja membabitkan barangan kosmetik dan penjagaan diri, bahkan juga makanan dan pengguna pasti mahu tahu kandungannya.
“Contohnya, apabila menggunakan bahagian tertentu dalam daging babi seperti usus dan kulit, istilahnya sudah bertukar lain. Jadi, bagaimana orang ramai boleh kenal pasti?
“Aspek pemakanan juga merupakan perkara yang sangat pen­ting dan perlu diberi perhatian utama kerana kita tidak mahu sesuatu yang kotor masuk ke dalam badan kita,” ujarnya.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget