KL CHRONICLE: YB Senator Datuk Mustapa Kamal mahu modul kursus kahwin ditambah baik

Wednesday, December 21, 2016

YB Senator Datuk Mustapa Kamal mahu modul kursus kahwin ditambah baik


Modul kursus perkahwinan yang wajib di­ikuti setiap pasangan Islam ketika ini didakwa sebagai tidak memberi sebarang kesan dalam mengelakkan terjadinya kes percerai­an khususnya kepada mereka yang baru menjalani kehidupan berumahtangga.




Sehubungan itu, YB Se­nator Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff meminta kajian semula segera dilakukan bagi menambah baik modul kursus perkahwinan kerana purata perceraian dalam kalangan pasangan Islam di Malaysia ketika ini amat membimbangkan iaitu 12 kes sejam.

Menurut YB Senator Datuk Mustapa Kamal, kursus perkahwinan yang dianjurkan jabatan agama Islam negeri bukan sahaja dilihat terlalu singkat, malah pengisiannya juga tidak berupaya memberi kefahaman kepada pasangan suami isteri sehingga terjadinya kes perceraian berpunca daripada isu-isu remeh.

“Ini membimbangkan kerana kadar penceraian pasangan Islam terus memperlihatkan pola pening­katan dan data terbaharu menunjukkan sekitar 267 kes perceraian berlaku setiap hari atau purata 12 kes setiap jam. Pastinya sesuatu yang drastik perlu dilakukan.

“Paling utama saya melihat kursus perkahwinan perlu dikaji semula kerana hari ini perceraian berlaku atas isu-isu remeh seperti hanya kerana tidak pandai membuat teh tarik,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pentadbiran Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2016 di Dewan Negara hari ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebelum ini memaklumkan sebanyak 48,077 kes perceraian pasangan Islam direkodkan dari Januari hing­ga 10 Julai 2016 dengan Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu 7,731 kes diikuti Sabah (6,638) dan Johor (4,700).

Dalam perkembang­an berasingan, YB Senator Datuk Mustapa Kamal berkata, pi­hak yang cuba mencari laba peribadi dengan mempolitikkan isu Rang­ Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 perlu segera menghentikan perbuatan mereka kerana RUU 355 adalah untuk orang Islam.

Sumber : https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=136850480137511&id=100014376792728

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget