Dalam catatan blog saya yang lalu, saya menyentuh mengenai mengapa perlunya MRT dibina bagi memperbetulkan dan melengkapkan sistem pengangkutan awam negara yang sebelum ini bercelaru, tidak berhubung dengan jaringan yang berpecah-belah.
Lebih daripada itu, saya ingin menyatakan bahawa MRT ini adalah permulaan perjalanan baharu buat kita sebagai sebuah negara, dan Kerajaan sebagai perancang pengangkutan awam bandar.
Amat tepat pada amatan saya projek MRT ini dikatakan sebagai “game-changer” dan penanda aras buat semua perancangan di masa hadapan, sebuah projek berpaksikan rakyat yang holistik, direncana dengan pengguna dan rakyat sebagai tumpuan utama kita.
Sejak mula idea MRT diketengahkan, ia dirancang untuk dibina bukan sekadar sebagai pengangkutan awam. Kerajaan memandang dan melakukan kajian mendalam dari segi kehidupan rakyat, mengambil kira jaringan rangkaian, kepadatan penduduk, aliran trafik, keperluan pengguna dan sebagainya.
Malah lebih daripada itu, kita juga memberi penekanan khusus terhadap kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir, first and last mile connectivity.
Merujuk kepada sistem pengangkutan awam sedia ada, tidak dapat dinafikan bahawa kita cemerlang dari segi pembinaan infrastruktur kelas pertama. Namun malangnya, banyak daripada kemudahan sedia ini tidak diselenggara dengan baik dan pada kebanyakan masa juga tidak beroperasi atau diguna pakai secara optimum.
Bertahun lamanya kita telah mendengar rintihan, keluhan dan aduan pengguna mengenai pengangkutan awam negara. Tren lewat tidak mengikut jadual, gerabak lama yang usang dan sesak, sistem jaringan yang tidak berhubung dan menyusahkan pengguna, serta bermacam lagi.
Kerajaan sentiasa menggalakkan rakyat menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, tetapi pada masa sama tidak berjaya menangani aduan dan permasalahan yang dilalui pengguna dengan cara yang berkesan.
Misalnya, rakyat digalakkan menaiki tren KTM di sesuatu kawasan, tetapi dari sudut pandang rakyat atau pengguna mungkin ada masalah untuk mereka bergerak dari rumah ke stesen tersebut.
Kebanyakan masalah ini adalah masalah legasi, saya warisi daripada pucuk pimpinan terdahulu yang merencana pembinaan pengangkutan awam bandar bukan dengan memikirkan rakyat dan kesan kepada mereka di kemudian hari atau pada jangka masa panjang.
Oleh itu, sepertimana yang telah saya sebut dalam blog yang lalu, antara tindakan pertama saya sebagai Perdana Menteri adalah merencana pengubahsuaian dan transformasi perkhidmatan pengangkutan awam negara sebagai salah satu fokus utama negara.
Kita telah mengorak langkah melakukan banyak penambahbaikan melalui SPAD, Prasarana dan agensi-agensi lain, menambah laluan LRT, mempertingkatkan kualiti perkhidmatan Komuter, menyusun semula laluan bas dan mentransformasi industri teksi dan terbaru sekali, projek MRT.
Kini, saya gembira menyatakan bahawa hasil usaha terkini itu telah sedia untuk rakyat nikmati bermula 16 Disember ini.
Selain daripada sistem yang lebih canggih, gerabak lebih moden dan luas serta waktu selang antara tren yang pendek, perkara utama yang membezakan perancangan MRT dengan perkhidmatan pengangkutan awam bandar yang lain adalah kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir yang kita sediakan melalui bas pengantara di setiap stesen.
Bagi fasa pertama laluan SBK daripada Sungai Buloh ke Semantan yang merangkumi 12 stesen, sebanyak 112 bas pengantara disediakan di stesen-stesen yang meliputi jarak sejauh 256.3km dengan laluan termasuk kawasan tumpuan seperti KL Sentral, Lapangan Terbang Subang dan juga kawasan perumahan dengan jumlah penduduk yang ramai seperti di Subang Bestari, Kota Damansara dan banyak lagi.
Inisiatif ini memberikan pengguna pilihan, sama ada untuk meninggalkan kenderaan di rumah dan menggunakan bas pengantara untuk ke stesen MRT dan seterusnya destinasi akhir di dalam bandar, ataupun memandu kenderaan persendirian dan menggunakan kemudahan Park-And-Ride yang disediakan di beberapa stesen MRT terpilih.
Inilah kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir yang Kerajaan ingin sediakan untuk pengguna, untuk rakyat semuanya. Bukan sekadar membina stesen besar yang gah untuk dilihat tetapi mengabaikan cara bagaimana untuk pengguna bergerak ke stesen tersebut.
Kita sediakan bas pengantara dan rangkaian lebih mudah, kita bina dengan memikirkan kesalinghubungan buat pengguna, kerana MRT ini adalah projek yand dibina dengan memikirkan rakyat sebagai perkara yang paling utama.
Inisiatif-inisiatif sebegini adalah satu lagi langkah tambahan Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kita terhadap kenderaan persendiran dan menggalakkan penerimaan terhadap gaya hidup baharu di mana pengangkutan awam bandar yang moden menjadi sebati dengan cara hidup harian kita.
No comments:
Post a Comment