KL CHRONICLE: #DemiRakyat Liow Tiong Lai mahu SPAD Dan Miros Kerjasama Kumpul Data Kemalangan

Monday, December 26, 2016

#DemiRakyat Liow Tiong Lai mahu SPAD Dan Miros Kerjasama Kumpul Data Kemalangan


Susulan dari kemalangan maut bas Alisan Ekspress yang menyebabkan 14 orang terkorban di Pagoh, Johor baru  - baru ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah menegaskan bahawa Kementerian Pengangkutan memandang serius kes yang telah berlaku dan telah mengarahkan para pegwai dari  MIROS, JPJ dan JKJR untuk menjalankan siasatan dari sudut keselamatan jalan raya. Ini adalah bagi mengenalpasti punca sebenar yang menyebabkan kemalangan ini berlaku.



Bagi kami di #KLChronicle, tindakan yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan ini memang wajar dimana Kementerian mengambil pendekatan untuk menggunakan kepakaran Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) dalam siasatan ini. Umum ketahui bahawa MIROS dan Ketua Pengarahnya, Professor Dr. Wong Shaw Voon merupakan antara pakar dalam hal - hal keselamatan jalan raya dan kepakaran mereka memang diperlukan. 

Selain itu, kami di #KLChronicle juga mengambil maklum akan pesanan dari Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mahukan pengguna jalan raya memainkan peranan dan mengambil iktibar atas kejadian yang telah berlaku. Pengguna jalan raya diingatkan untuk mengambil semua langkah - langkah keselamatan yang berpatutan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan yang baik sebelum memulakan perjalanan. 

Harapan akhir kami adalah supaya Kementerian Pengangkutan mengambil langkah tegas terhadap pengendali bas ekspress Alisan dan memastikan syarikat - syarikat yang mempunyai tunggakan saman dan sebagainya diambil tindakan tegas. Syarikat - syarikat ini telah terbukti hanya memikirkan keuntungan tanpa menghiraukan keselamatan penumpang. 

--------------------------------------------------------

Kenyataan Media Penuh Yang Berhormat Menteri adalah seperti beritkut:

Y. B. Dato' Sri Liow Tiong Lai, Menteri Pengangkutan Malaysia


TRAGEDI BAS EKSPRES: KEMENTERIAN PENGANGKUTAN PANDANG SERIUS
Kementerian Pengangkutan memandang serius tragedi kemalangan bas ekspres yang telah mengorbankan 14 nyawa awal pagi ini. Para pegawai dari MIROS, JPJ dan JKJR telah diarahkan untuk menjalankan siasatan dari sudut keselamatan jalan raya bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian. Hasil daripada siasatan yang mendalam ini akan digunapakai oleh pihak kementerian untuk membuat penambahbaikan yang diperlukan dari semua sudut bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Pihak MIROS dengan diketuai oleh Ketua Pengarahnya, Professor Dr. Wong Shaw Voon juga dilaporkan sedang bekerjasama dengan pihak SPAD untuk mengumpul data di kawasan kemalangan. MIROS dan SPAD juga akan bekerjasama untuk mengaudit syarikat pengendali yang berkenaan. Maklumat awal daripada pihak polis juga akan dianalisis bagi mengenalpasti punca kejadian. Hasil siasatan dijangka akan diperolehi dalam jangkamasa terdekat.

Pada masa yang sama, masyarakat diharap tidak membuat atau menyebarkan sebarang spekulasi sebelum hasil siasatan penuh diperolehi. Hormati perasaan keluarga mangsa yang terlibat yang pasti sedang bersedih. Takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Para pengguna jalan raya yang lain juga diseru supaya mengambil pengajaran daripada kejadian ini supaya tiada lagi nyawa yang terkorban di musim perayaan ini. Rancang perjalanan anda, pastikan keadaan kenderaan dalam keadaan yang baik dan paling penting pemandu adalah sihat dan sesuai untuk memandu. Patuhi peraturan jalan raya dan hormati hak pengguna jalan raya yang lain semasa memandu kerana nyawa setiap manusia itu sangat berharga.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget