Sejak Julai 1985, Proton Holding Berhad sentiasa mendapat perhatian kerajaan. Sebagai syarikat automotif pertama negara, pastinya Proton dekat dihati kerajaan dan rakyat Malaysia. Segala permasalahan melibatkan syarikat ini menjadi keutamaan pemerintah.
Sejak awal penubuhannya, pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Proton dilihat cukup sinonim. Sehinggakan ada yang mengatakan, tanpa Tun Mahathir, siapalah Proton.
Namun begitu, sepanjang 31 tahun penubuhannya sehingga kini, Proton masih belum mampu mengorak langkah lebih jauh.
Tahun ini, Proton buat sekian kalinya mengalami masalah hutang tertunggak sehingga mencecah RM 1.1 bilion hingga memaksa syarikat berkenaan memohon bantuan daripada kerajaan walaupun hakikatnya, pengerusinya sebelum ini mahu menjatuhkan kerajaan.
Melihat kepada tekanan yang melanda Proton, akhirnya, hubungan 31 tahun Tun Mahathir dan Proton terlerai. Dengan perletakan jawatan Tun Mahathir selaku Pengerusi Proton, barulah kerajaan dapat membina semula imej Proton yang telah tercalar sejak sekian lama.
Setelah meneliti permohonan Proton, akhirnya kerajaan menyalurkan bantuan sebanyak RM 1.5 bilion dengan syarat ia harus merangka pelan penstrukturan semula di mana Proton perlu mencari rakan strategik bagi membolehkan produknya dipasarkan dengan lebih meluas.
Hasilnya, setelah Tun Mahathir berundur daripada Proton, pihak pengurusan lebih bebas untuk merangka pelan perniagaan mereka.
Jika sebelum ini, pengurusan Proton `agak takut' untuk mengambil tindakan bagi menjaga indeks kepuasan pelanggan namun hari ini, Proton lebih berhati-hati sebelum memperkenalkan sebarang produk keluaran kilang mereka.
Malah, vendor-vendor terdahulu yang membekalkan alat ganti serta pendawaian setiap kereta Proton juga sentiasa dipantau sekali gus membolehkan produk yang dihasilkan oleh dua kilang mereka sentiasa menepati piawaian yang ditetapkan.
Langkah Proton yang sedang menimbangkan kerjasama dengan Suzuki, Skoda dari kumpulan Volkswagon, kumpulan Renault atau Peugeot dilihat sebagai satu langkah realistik bagi mengembangkan lagi perniagaannya, sesuai dengan syarat bantuan kerajaan sebelum ini.
Proton hari ini boleh dikatakan sudah bebas dari belenggu birokrasi ciptaan Tun Mahathir yang mencengkam syarikat ini sejak sekian lama.
Jika diambil kira perkembangan semasa, Proton dijangka mampu mengorak langkah lebih jauh hanya dalam tempoh kurang dari 5 tahun.
Tulisan:
Beruang Biru
BB67, Jumaat
30 September 2016
1 comment:
kerajaan salur dana untuk proton 1.5b
Post a Comment