Wednesday, May 11, 2016

PRASARANA SUSUN PERSIAPAN AWAL UNTUK OPERASI MMMSL DI MEKAH BAGI TAHUN 1437H Cc @MyRapidKL



KUALA LUMPUR, 10 Mei - Berbekalkan pengalaman tahun pertama mengendalikan operasi Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), Mekah pada musim haji lepas, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) berazam untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih mantap pada musim haji tahun ini.



Persiapan dijalankan secara berperingkat sejak akhir tahun lepas berdasarkan urutan masa atau ‘time-line’ yang dirangka bersama-sama dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan kelancaran operasi MMMSL, yang dijadualkan pada September ini.

“Seperti yang kita sedia maklum, operasi sebenar perkhidmatan Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro ini adalah untuk tujuh hari sahaja. Tetapi, persiapan yang kami lakukan adalah berterusan sepanjang tahun berdasarkan jadual kerja yang telah ditetapkan”.


“Ini termasuk operasi pra-percubaan atau ‘pre-trial’ selama 30 hari sebelum operasi, percubaan atau ‘trial’ selama 60 hari dan Pelan Tindakan Kecemasan atau ERP (Emergency Response Plan), yang telah kami rancangkan pada 1 September ini.

“Ini adalah projek yang prioriti untuk kami di Prasarana khususnya PRIME (Prasarana Integrated Management & Engineering Services), yang kini sedang membuat bidaan untuk beberapa projek-projek lain di Timur Tengah sebagai inisiatif untuk meningkatkan hasil untuk Kumpulan Prasarana dan membuka pintu untuk syarikat-syarikat Malaysia yang lain,” kata President dan Ketua Pegawai Eksekuttif Prasarana, Dato’ Azmi Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.



Untuk operasi musim haji 2016 ini, perkhidmatan MMMSL akan bermula pada pada 8 September, yang bersamaan dengan 7 Zulhijjah, dan berakhir pada 14 September ataupun pada 13 Zulhijjah. Menggunakan 15 tren 12-gerabak, perkhidmatan MMMSL akan mengendalikan lebih 350,000 penumpang sehari khususnya pada dua hari kemuncak haji pada 9 dan 10 Zulhijjah.

Kata Dato’ Azmi: “Ketika tempoh operasi itu, kami akan mempunyai lebih 7,000 orang petugas termasuk kira-kira 400 rakyat Malaysia khususnya daripada Prasarana dan anak-anak syarikatnya”.

“Operasi dan perkhidmatan tren pada masa itu akan berjalan secara berterusan selama tempoh tujuh hari dengan setiap orang daripada mereka yang bertugas di sana akan bekerja lebih masa dan sentiasa dalam keadaan bersedia atau ‘stand-by’. Ketika itu, para pegawai dan staf Prasarana akan ditempatkan di semua stesen dan di kawasan depoh.

“Insya Allah, tahun ini Prasarana dapat membuat persiapan awal di samping mempunyai pengalaman mengendalikan perkhidmatan tahun lepas. Operasi di sana adalah jauh berbeza daripada operasi tren kami di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurut beliau, kKerja-kerja penyelenggaraan tren sebenarnya telah berjalan berterusan selepas musim haji yang lepas; tetapi pada kadar minima dan meningkat mengikut jadual tugasan.

“Secara am, persiapan berjalan dengan lancar. Selain tren, kerja-kerja penyelenggaraan turut dijalankan untuk semua sistem semboyan dan bekalan elektrik. Kesemua sistem sudahpun diselenggara dan diuji. Seperti yang dijelaskan, ia akan berjalan secara berperingkat.

 “MMMSL juga sudah memulakan proses penerimaan para pegawai dan staf dari Prasarana ke sini. Di kalangan mereka adalah untuk memulakan tugas persediaan operasi. Ada juga yang dibawa ke sini untuk urusan penawaran kerja dan pengambilan warga-warga tempatan yang layak. Di samping itu, kami turut mengadakan siri-siri perbincangan dengan pegawai-pegawai tempatan daripada agensi-agensi yang berkenaan di Mekah untuk pelan tindakan kawalan jemaah haji atau ‘crowd control’”.
“Setakat ini, jumlah guna tenaga di MMMSL adalah 168 warga tempatan termasuk 65 orang adalah warga Arab Saudi serta 77 dari Malaysia. Jumlah ini akan terus meningkat khususnya dengan pertambahan kerja-kerja yang perlu dilaksanakan termasuk program-program persediaan operasi,”, tambah Dato’ Azmi, yang melahirkan rasa puas hati untuk segala kerja persediaan setakat ini.

Menurut beliau, operasi pra-percubaan akan berlangsung selama sebulan daripada 6 Jun hingga 5 Julai di mana tren-tren akan diuji mengikut segmen-segmen perjalanan tertentu pada waktu-waktu yang ditetapkan.

“Operasi percubaan atau ‘trial operation’ pula akan bermula daripada 9 Julai hingga 6 September di mana operasi selama 24 jam akan dijalankan. Ini bagi menguji kesiap-siagaan operasi khususnya komunikasi antara Pusat Kawalan Operasi dengan tren-tren dan stesen-stesen,” tambah beliau.

Dengan rangkaian sepanjang 18.1km yang menghubungkan lokasi-lokasi ibadah haji, laluan MMMSL mempunyai sembilan stesen – Arafah 1, Arafah 2, Arafah 3, Mudzalifah 1, Mudzalifah 2, Mudzalifah 3, Mina 1, Mina 2 dan Mina 3 (Jamarat).

“Secara am, terdapat cuaca yang tidak menentu di Mekah pada ketika ini kerana perubahan musim dengan terdapat beberapa kejadian hujan lebat dan ribut pasir di sekitar Arafah. Kami difahamkan bahawa cuaca ketika musim haji di bulan Zulhijjah nanti diramalkan panas,” kata Dato’ Azmi.

No comments:

Post a Comment