Saturday, May 14, 2016

Kejujuran kakitangan @MyRapidKL Wajar dipuji #Jujur #Amanah @AzmiAziz60


“Segalanya demi tugas,” itulah yang diujarkan oleh Kpl Mohd Nori Nordin apabila menerima ucapan terima kasih daripada pelajar Eric Pau, yang mendapat kembali dompet beliau yang terjatuh dalam tren pagi ini.

“Dia ucap terima kasih beberapa kali kepada saya dan kepada Rapid KL. Saya gembira tengok dia gembira. Teramat lega agaknya kerana dapat balik dompet yang hilang,” kata Nori, yang sudah 18 tahun berkhidmat sebagai Polis Bantuan dengan Prasarana Malaysia Berhad.


“Saya kerja PB dengan Prasarana sejak zaman PUTRA lagi. Tapi, inilah kali pertama saya jumpa dompet dalam tren ketika membuat rondaan,” kata Nori, yang hari ini membuat rondaan dari stesen Muhibbah ke IOI Puchong Jaya bersama-sama dengan Konstabel Syed Sharuddin Syed Salim. 

Ketika dalam tren pada 10.30 pagi, beliau ternampak satu dompet berwarna hitam atas kerusi penumpang dalam gerabak bahagian tengah, yang ketika itu dinaiki oleh tiga orang penumpang lain dan berada agak jauh daripada tempat duduk berkenaan.

“Saya terus tahu ia adalah dompet yang tercicir oleh pelanggan dan terus mengambil dompet berkenaan. Saya buka dompet berkenaan untuk mendapatkan maklumat. Ketika itu juga, saya dapat lihat sejumlah wang yang banyak dalam dompet itu.

“Sampai di stesen IOI Puchong Jaya, saya terus pergi ke kaunter untuk memaklumkan perkara ini dan kami terus menghubungi Ketua Stesen Mohd Azri Zahari, yang memberitahu bahawa stesen Awan Besar ada menerima laporan mengenai kehilangan dompet,” katanya.

Nori kemudiannya bergegas ke stesen Awan Besar dan berjumpa dengan Eric untuk memulangkan dompet, yang antara lain berisi dengan wang tunai RM729 dan pelbagai dokumen penting peribadi.

Ketika dihubungi, Eric melahirkan rasa gembira dan merakamkan rasa terima kasih kepada staf Rapid KL.

“Saya amat berterima kasih kepada Kpl Nori atas kejujuran beliau dan mengucapkan syabas kepada Rapid KL kerana mempunyai staf yang jujur,” kata Eric.

Katanya, beliau hendak pergi ke Bandar Tun Razak hari ini dan menyedari dompetnya hilang selepas bertukar tren di stesen Sri Petaling.

“Menyedari dompet saya hilang semasa hendak ke Sri Petaling, saya terus kembali ke Awan Besar untuk melaporkan kehilangan itu di kaunter stesen. Tidak sampai sejam kemudian, saya menerima panggilan telefon daripada staf Rapid KL, yang memberitahu dompet saya dijumpai.

“Saya sungguh gembira untuk mendapat balik dompet saya,” tambah beliau.

No comments:

Post a Comment