Peringkat separuh akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2016 pada Rabu menyaksikan kejutan untuk peserta kategori antarabangsa yang berjaya memasuki pusingan akhir Jumaat ini.
Berlangsung di Hotel RHR Uniten, Bangi, Selangor, PABM telah melabuhkan tirai dengan kemenangan berpihak kepada sembilan peserta untuk memasuki pentas final yang terdiri daripada tiga orang bagi setiap kategori.
Peserta China dan Jepun bakal mengiringi Amerika Syarikat (AS) dalam kategori antarabangsa mengalahkan dua lagi peserta iaitu dari Australia dan Korea selatan yang nyata tidak dapat menjejakkan kaki ke pentas akhir.
Wang Jialu atau nama Melayunya, Aleeya dari China, selain Hatsune Yanai dari Jepun dan Megan Rose Donnelly dari AS menepati ramalan apabila mereka berjaya menempah tiket masing-masing untuk ke peringkat akhir.
Kategori pelajar antarabangsa di Malaysia ialah Nasear Slayman (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Abdalla Hassan Ghorib (Universiti Malaysia Sarawak) dan Anas Muhammad Husain Kassim (Universiti Malaysia Pahang).
Manakala kategori alam Melayu atau Nusantara sah disertai oleh peserta tuan rumah, Muhammad Haziq Jamaludin dan Irfan Mohammad Fairus selain peserta dari Thailand iaitu Mohammad Sa’mae.
Keputusan sembilan finalis dari peringkat separuh akhir ini telah diumumkan secara rasmi oleh Datuk Mizan Hitam, Timbalan Rektor UIAM yang juga merangkap Pengerusi Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM).
Kesemua peserta yang menempah nama ke peringkat akhir telah diadili dalam empat elemen iaitu dari segi isi, gaya persembahan, bahasa dan etika atau adab semasa melontarkan hujah mereka di hadapan para juri.
Acara peringkat akhir PABM 2016 bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada Jumaat ini yang turut akan dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Post a Comment