KL CHRONICLE: Saya tetap ikut arahan Mukhriz dalam Umno negeri selagi ikut dasar pusat, kata Ahmad Bashah

Friday, February 5, 2016

Saya tetap ikut arahan Mukhriz dalam Umno negeri selagi ikut dasar pusat, kata Ahmad Bashah


Walaupun kini menjadi menteri besar Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Datuk Seri Ahmad Bashah menegaskan beliau tetap akan melaksanakan arahan Mukhriz dalam hal membabitkan Umno negeri selagi ia selaras dengan dasar di peringkat pusat.

Ahmad Bashah berkata Mukhriz masih lagi pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dengan beliau sendiri sebagai timbalan.



"Beliau masih pengerusi, dan saya masih perlu bertindak sebagai timbalan pengerusi.. Saya tetap terima arahan kalau diarahkan jika bertepatan dengan dasar parti di peringkat pusat," katanya dalam satu temu bual.

Sejak 20 Januari lepas, Kedah berdepan dengan krisis politik apabila ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan anggota Parlimen Kedah serta pemimpin kanan Umno negeri yang diketuai Ahmad Bashah menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai menteri besar dan pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Kemuncaknya, 2 hari lepas Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai menteri besar Kedah berkuat kuasa serta-merta susulan kehilangan sokongan majoriti di DUN, dan digantikan dengan Ahmad Bashah yang mengangkat sumpah jawatan semalam.

Dalam temu bual itu, Ahmad Bashah berkata beliau menyedari tindakan beliau mengetuai "pemberontakan" terhadap Mukhriz menyebabkan perpecahan dalam kalangan penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN), tetapi optimis masalah itu akan selesai menjelang pilihan raya umum kira-kira 2 tahun lagi.

"Saya yakin masalah perpaduan ini akan selesai..tetapi bukanlah dalam masa terdekat ini. Ambil masa juga. Ini (krisis) berlaku kerana ada insiden tidak melihat kepentingan parti. Kita pernah lalui keadaan kita hilang kuasa selama 5 tahun (2008-2013). Itu yang kita nak pertahankan (menguasai kerajaan negeri)," katanya.

Ahmad Bashah sekali lagi mempertahankan tindakan beliau itu bukan kerana arahan daripada pihak-pihak tertentu.

"Kami dah simpan lama..keadaan makin lama makin teruk. Bila tengok keadaan politik, kami rasa perlu buat sesuatu. Kerana itu kami mendesak perdana menteri ambil tindakan segera," katanya. – Bernama, 5 Februari, 2016.


No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget