Dua isu menjadi keraguan besar dalam hati sebilangan besar rakyat Malaysia yang punyai kaitan dengan pentadbiran Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Selangor, iaitu isu cat pintu gerbang Selangor yang memakan belanja lebih RM9 Juta dan isu membaiki kubah Masjid Shah Alam yang memakan belanja lebih RM32 Juta.
Perbelanjaan yang sebegini besar menjadikan ramai rakyat merasa ragu-ragu dengan pentadbiran Azmin dalam hal pengurusan kewangan negeri.
Mungkin rakyat tidak kisah jika perbelanjaan besar itu munasabah dengan bahan yang dibelanjakan. Namun, keraguan besar apabila mulut menteri besar Selangor menyatakan ia sebagai munasabah, tetapi berdasarkan kadar bahan yang dibelanjakan dan kadar kewangan yang digunakan itu dianggap ramai sebagai tidak munasabah.
Sesebuah pintu gerbang, yang mahu dicat, memerlukan belanja sampai jutaan ringgit, sedangkan ramai anggap, dengan jutaan ringgit tersebut boleh membuat beberapa buah pintu gerbang baru bersekali dengan cat sekali.
Begitu juga dengan perbelanjaan untuk membaiki kubah masjid yang memakan perbelanjaan puluhan juta ringgit, sedangkan ramai anggap kadar puluhan juta ringgit itu, boleh menyiapkan sebuah masjid baharu berserta kubahnya.
Jika ini kerangka rakyat yang berfikir, tidak hairan perbelanjaan jutaan ringgit untuk cat pintu gerbang dan puluhan juta ringgit untuk membaiki kubah masjid menjadi persoalan rakyat bawahan.
Persoalan ini tidak boleh didiamkan. Justeru, pihak rakyat berhak bangkitkan, dan pihak kerajaan wajib memberikan penjelasan yang meyakinkan.
Memberi jawapan dengan menyatakan membaiki kubah itu adalah untuk kebaikan umat Islam adalah jawapan melepaskan diri dan tidak bertanggungjawab.
Malahan, dengan menggunakan alasan agama dalam menutup keraguan rakyat dalam urusan kewangan adalah amat tidak bermaruah.
Jauh lebih tidak bermaruah, apabila ada sebilangan rakyat bawahan bangkitkan perkara ini, lalu dituduh kepada individu itu sebagai balaci Umno, macai dan sebagainya.
Justeru, amat wajar Azmin mengambil sikap pentadbiran yang telus, seperti Saidina Umar Abdul Aziz dan moyangnya, Saidina Umar al-Khattab.
Mendedahkan kepada rakyat segala perkara yang berkaitan dengan projek tersebut, seperti syarikat yang dapat projek, kandungan perbelanjaan secara terperinci dan sebagainya.
Apabila hal ini dilaksanakan Azmin dalam pentadbiran Selangor, sudah pasti beliau akan mendapat pujian oleh ramai pihak, malahan amat susah lagi mana-mana pihak untuk menimbulkan sebarang persoalan dan keraguan terhadap pentadbirannya.
Sebagai orang berjawatan menteri besar yang telus, sudah pasti melaksanakan saranan ini bukan satu yang menyusahkan.
Namun, dianggap ada sesuatu yang tak kena, jika saranan ini dianggap sebagai membebankan, atau dicipta seribu satu alasan untuk tidak melaksanakannya. – 7 Februari, 2016.
Wan Ji Wan Hussin
keupayaan dia ni hanyalah setakat ubahsuai sesuatu yang dah sedia ada, pulak tu perbelanjaannya melampau. Come on lah brother buatlah perkara baru yang rakyat Selangor boleh banggakan. Jgnlah asyik salahkan BN je
ReplyDeletekeupayaan dia ni hanyalah setakat ubahsuai sesuatu yang dah sedia ada, pulak tu perbelanjaannya melampau. Come on lah brother buatlah perkara baru yang rakyat Selangor boleh banggakan. Jgnlah asyik salahkan BN je
ReplyDelete