Assalamualaikum, Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Saya merasa amat gembira pada pagi ini kerana dapat bersama tuan-tuan dan puan-puan di Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Perayaan Tahun Baru Cina 2016.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) dan semua Kementerian, Jabatan, agensi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) atas kerjasama dalam mengatur majlis ini dengan satu iltizam yang sama iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina kali ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Pelbagai cara berkempen serta nasihat telah kita jalankan, namun kadar kemalangan dan kematian terus berlaku dengan lebih daripada 6,000 kematian direkodkan setiap tahun sejak 10 tahun lepas.
Untuk makluman, gambaran statistik kemalangan adalah amat menggerunkan, contohnya:-
- Jumlah kemalangan jalan raya pada tahun 2015 telah meningkat kepada 489,606 berbanding 476,196 tahun 2014.
- Jumlah kemalangan maut pula mencatatkan 6,193 kemalangan bagi tahun 2015 berbanding 6,187 pada tahun 2014.
- Jumlah kematian juga menunjukkan peningkatan bagi tahun 2015 dengan 6,706 kematian berbanding 6,674 pada tahun 2014.
- Ini menunjukkan kadar kematian di jalan raya adalah lebih daripada 18 orang setiap hari.
- 60% daripada kematian tersebut merupakan pengguna motosikal.
- Bagi tempoh perayaan Tahun Baru Cina 2015, sebanyak 17,632 kemalangan yang melibatkan 199 kematian telah direkodkan.
Berdasarkan statistik di atas, adalah menjadi harapan saya agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati. Saya percaya bahawa tumpuan utama dalam usaha untuk mengurangkan bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya adalah lebih bergantung kepada sikap pengguna jalan raya sendiri.
Selalunya, punca utama kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor kecuaian seperti memandu melebihi had laju, berlumba, melanggar peraturan lampu isyarat, menukar laluan tanpa isyarat dan mengguna telefon bimbit semasa memandu. Ada kalangan pemandu yang sengaja melanggar lampu isyarat, memotong barisan (potong Q) dan menggunakan laluan kecemasan di lebuh raya.
Sehubungan itu, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengubah sikap pengguna jalan raya. Namun, usaha untuk mengubah sikap pengguna hanya akan berjaya melalui pendidikan dengan disokong oleh penguatkuasaan yang berkesan.
Kerajaan amat memandang serius hal ini di mana Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menambahbaik sistem mata KEJARA dan pengawasan kamera Automated Enforcement System (AES) untuk dilaksanakan dalam masa terdekat. Kedua-dua kaedah ini terbukti berkesan untuk mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya.
Namun, sebagai sebuah kerajaan yang amat prihatin kepada rakyat selaras dengan konsep ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ MOT melalui JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kini membuka ruang kepada orang awam untuk memberikan pandangan dan cadangan mereka tentang kedua-dua sistem ini sebelum dilaksanakan.
Orang ramai boleh mengemukakan pandangan dan cadangan melalui portal kementerian, JPJ dan MIROS atau e-mel seperti berikut:-
- kejara@jpj.gov.my
- aes@jpj.gov.my
Kesemua pandangan dan cadangan ini InsyaAllah akan diambil kira sebelum pelaksanaan sistem terbabit dijalankan.
Para hadirin yang saya hormati,
Bagaimanakah cara yang terbaik untuk kita mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya? Saya percaya kempen-kempen yang telah kita jalankan menitikberatkan aspek-aspek keselamatan jalan raya dengan saranan supaya sentiasa berhemah dan mematuhi peraturan semasa menggunakan jalan raya. Sebagai langkah jangka panjang, pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah kini telah diberikan pendedahan asas mengenainya melalui kurikulum sekolah.
Selain itu, program-program keselamatan jalan raya akan terus dipertingkatkan termasuk Program Rawatan Kawasan Kerap Kemalangan (3K) dan Audit Keselamatan Jalan. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha ke arah sasaran mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50% menjelang tahun 2020 selaras dengan syor United Nations Decade of Action for Road Safety, 2011-2020. Program Rawatan 3K ini akan dipergiatkan lagi bagi mengurangkan kadar kemalangan yang disebabkan oleh faktor kejuruteraan.
Hadirin yang dihormati,
Mengambil kira faktor-faktor di atas, kempen keselamatan jalan raya secara berterusan mesti dipertingkatkan, terutama pada musim perayaan. Berdasarkan rekod, walaupun pelbagai usaha telah dibuat oleh kerajaan bagi menangani isu kemalangan jalan raya, masih terdapat segelintir pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
Pada tahun ini, MOT telah memilih tema “Berhati-hati dalam Perjalanan, Selamat ke Destinasi” untuk menunjukkan betapa pentingnya sikap berhati-hati semasa berada di jalan raya yang perlu diamalkan oleh semua pengguna pada setiap masa.
Seperti lazimnya, pada musim perayaan tahun ini, kerajaan akan melaksanakan pelbagai program yang berupa advokasi dan penguatkuasaan bagi mengurangkan kemalangan dan kematian di jalan raya.
MOT melalui JKJR telah dan akan terus mengadakan kempen media dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) serta program advokasi di seluruh negara termasuk dengan pihak swasta dan NGO bagi meningkatkan kesedaran dan penghayatan terhadap kepentingan keselamatan jalan raya.
Para hadirin yang saya hormati,
Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan melancarkan Ops Selamat Ke-8 bermula pada 1 Februari hingga 16 Februari 2016 manakala JPJ pula Ops Bersepadu pada tempoh yang sama. Antara aktiviti utama penguatkuasaan JPJ pada kali ini adalah pemeriksaan ujian air kencing terhadap pemandu bas bersama dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang akan dijalankan di 30 terminal bas di seluruh negara. Skop Ops Bersepadu ini juga melibatkan operasi penyamaran sebagai penumpang bas dan pemeriksaan bas di depot dan terminal.
Selain itu, JPJ juga akan menempatkan ahli Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) di kawasan rehat lebuh raya (R&R) dalam Ops Bersepadu ini sebagai langkah untuk melibatkan orang awam dalam menjalankan advokasi keselamatan jalan raya bersama-sama anggota JPJ dan JKJR. JPJ juga akan bekerjasama dengan pihak PDRM melakukan rondaan di lebuh raya dan jalan utama negeri sepanjang musim perayaan. Penguatkuasaan bagi penunggang motosikal akan dijalankan oleh pasukan yang telah ditetapkan di seluruh negara secara serentak mulai 1 hingga 16 Februari 2016.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Larangan ke atas kenderaan barangan tertentu akan dikuatkuasakan oleh JPJ dan PDRM pada 6 dan 7 Februari 2016 iaitu dua hari sebelum perayaan dan pada 10 dan 11 Februari 2016 iaitu dua hari selepas perayaan. Larangan ini bertujuan untuk mengurangkan risiko berlakunya kemalangan akibat percampuran trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan dalam usaha mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Untuk melicinkan lagi perjalanan sempena musim perayaan ini, program pencegahan dan pemantauan akan dilaksanakan seperti menghentikan kerja penyelenggaraan dan pembinaan dalam rizab lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri, serta mengalihkan semua jentera dan peralatan jauh dari bahu jalan sepanjang tempoh dari 1 hingga 16 Februari 2016.
Walau bagaimanapun, pemberhentian kerja penyelenggaraan dan pembinaan ini tidak meliputi kerja-kerja menampal potholes, kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan.
Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mewartakan penurunan had laju 10 km/j bagi jalan persekutuan dan jalan negeri bagi tempoh 1 hingga 16 Februari 2016. Sehubungan itu, had laju bagi Jalan Persekutuan akan diturunkan daripada 90 km/j kepada 80 km/j manakala bagi Jalan Negeri akan diturunkan daripada 80 km/j kepada 70 km/j.
Sehubungan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) mewartakan Had Laju Kebangsaan di Jalan Persekutuan (90 km/j kepada 80 km/j) dan di Jalan Negeri (80 km/j kepada 70 km/j).
MOT melalui MIROS akan membuat kajian untuk menilai keberkesanan program-program yang dijalankan semasa Ops Tahun Baru Cina. Penilaian ini dibuat sebelum dan sepanjang tempoh tersebut untuk membandingkan tahap keberkesanannya terhadap perubahan tingkah laku, persepsi serta kadar kemalangan dan kematian.
Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam akan turut bersedia 24 jam bagi memberi bantuan kecemasan kepada mangsa kemalangan yang mungkin berlaku sepanjang musim perayaan ini dengan membuka bilik gerakan serta mengadakan rondaan di lokasi-lokasi yang mencatatkan kemalangan tinggi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Saya cukup gembira kerana pada kempen tahun ini, banyak pihak swasta turut serta dalam berkempen. Saya juga ingin merakamkan sekalung penghargaan yang tidak terhingga kepada:-
- Scania Asia Tenggara selaku penaja utama pelancaran kempen kali ini.
- Allianz Malaysia Bhd. dalam membantu kempen keselamatan jalan raya yang akan dijalankan secara serentak pada 4 Februari 2016 di tujuh (7) negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Sarawak dan Pulau Pinang. Aktiviti kempen meliputi pertukaran topi keledar, pemberian wind breaker kepada penunggang motosikal serta pemberian booster seat untuk penumpang kereta kanak-kanak.
- Syarikat Continental Tyre PJ Sdn. Bhd. dengan kerjasama Shell Trading Malaysia Bhd. mengadakan Kempen Keselamatan Jalan Raya di 16 buah stesen minyak Shell di 11 buah negeri bermula pada 9 hingga 31 Januari 2016. Antara aktiviti yang dijalankan adalah pemeriksaan tayar, tekanan angin tayar dan pertukaran topi keledar.
- Puspakom Sdn. Bhd. yang telah menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan persendirian secara percuma di semua cawangannya kecuali di cawangan Shah Alam, Mak Mandin dan Kota Bharu mulai 17 – 29 Januari 2016.
- Dan lain-lain pihak termasuk yang mengadakan pameran pada hari ini.
Saya berharap bahawa kesedaran pihak korporat dan syarikat-syarikat swasta untuk mengambil dan mengadaptasi keselamatan jalan raya sebagai salah satu program Tanggungjawab Sosial Korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) harus dicontohi oleh pihak-pihak swasta yang lain.
Ianya merupakan satu langkah positif dalam menyokong usaha kerajaan menangani isu-isu keselamatan jalan raya di Malaysia. Kerajaan sentiasa menggalakkan dan menyokong inisiatif kempen keselamatan jalan raya yang dijalankan oleh sektor swasta dan NGO. Syabas dan tahniah saya ucapkan dan berharap ianya diteruskan lagi di masa-masa akan datang.
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Seperti mana tahun-tahun sebelum, Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina turut dilaksanakan di peringkat negeri.
Oleh itu, saya secara peribadi mengucapkan terima kasih kepada semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri yang bersama-sama menggerakkan pasukan advokasi dan kempen keselamatan jalan raya melalui koordinasi JKJR negeri dalam usaha dan misi yang sama, iaitu untuk menyedarkan dan memberi peringatan kepada pengguna jalan raya agar lebih mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta pengguna jalan raya yang lain terutamanya pada musim perayaan ini.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama untuk menjayakan kempen ini serta semua kementerian, jabatan, agensi awam, agensi swasta dan pihak NGO yang terlibat. Maka dengan ini, saya dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2016. Sesungguhnya, keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab kita bersama.
“Berhati-hati Dalam Perjalanan, Selamat Ke Destinasi”
Sekian, terima kasih.
Datuk Ab. Aziz Kaprawi
Timbalan Menteri Pengangkutan
Malaysia
29 Januari 2016
No comments:
Post a Comment