KL CHRONICLE: PM @NajibRazak anak didik terbaik Dr. Mahathir

Friday, January 15, 2016

PM @NajibRazak anak didik terbaik Dr. Mahathir



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini berdepan kecaman dan kritikan dalam dan luar parti mengikut jejak langkah mentornya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam  melawan musuh politik, kata Tun Musa Hitam.



Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, Najib dilihat tenang dan tidak terburu-buru  dalam mengorak langkah walaupun sedar dirinya diserang dan dikecam banyak pihak.

"Saya tidak tahu tentang niat Najib, sesetengah orang kata beliau bodoh dan pelbagai lagi,  kamu boleh baca dalam blog.


"Tapi saya mesti akui satu perkara, walaupun sesetengah orang tidak menyukainya, sangat menakjubkan bagaimana Najib menghadapinya dengan tenang. Ia sangat menakjubkan.

"Beliau memiliki kuasa tapi tidak membuka langkah, Dr Mahathir berterusan menyerangnya.  Mungkin itu strategi yang bijak, beliau akan menjadi anak didik Dr Mahathir yang terbaik," kata Musa dalam wawancara dengan The Malaysian Insider di kediamannya baru-baru ini.

Beliau mengimbau pengalaman bekerja dengan bekas bosnya, Dr Mahathir, yang sehingga hari ini masih dalam ingatannya.

"Mengaku kesilapan menunjukkan kamu lemah, mereka akan eksploitasi kamu, itu beliau (Dr Mahathir) kata," kata Musa.


Tun Musa Hitam berkata seorang yang berani ialah yang mengakui kesilapannya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 6 Disember, 2015.
Sebaliknya, Musa berkata: "Tidak. Mengakui kesilapan adalah tanda keberanian. Di situ kami berbeza."

Menurut Musa, bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu tidak akan mengakui kesilapannya dan Najib melakukan perkara sama.

"Dr Mahathir tidak pernah mengakui kesilapannya dan Najib sedang belajar daripada Dr Mahathir, bukan daripada saya," katanya.

Musa juga secara sinis berkata tindak-tanduk Najib adalah sikap sebenar Dr Mahathir ketika berada di tampuk kuasa sejak 1981.

"Beliau rasa sendiri akibat daripada tindakannya sebelum ini dengan cara Najib buat sekarang ini. Tidak, saya tidak buat silap," katanya.

Baginya, perkara paling mudah boleh dilakukan Najib ialah mengakui kesilapannya sendiri dan pandang ke depan demi memperbaiki parti dan diri.

"Saya katakan kepada presiden, jika ada yang salah, cakap saja 'saya minta maaf, ia satu kesilapan'. Mudah sahaja.

"Lebih-lebih lagi dalam konteks tradisi Melayu dan ajaran agama. Kita ini manusia biasa, tentunya ada salah. Besar atau kecil, berani. Kamu mesti ada keberanian," katanya.

Najib dan Dr Mahathir ketika ini bertembung secara terbuka sehingga menyebabkan Umno bergolak dan berpecah.

Dr Mahathir secara terbuka meneruskan serangan ke atas Najib dan menggesa beliau meletak jawatan.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget