KL CHRONICLE: Nota Tahun Baru EXCO Pemuda UMNO Malaysia @RahmanHussin #Year2016

Friday, January 1, 2016

Nota Tahun Baru EXCO Pemuda UMNO Malaysia @RahmanHussin #Year2016


Nota Tahun Baru 2016: 

A'kum dan Salam Sejahtera, 

Hari Jumaat ini, bukan seperti hari-hari yang lain. Penghulu segala hari pada kali ini juga adalah hari pertama bagi tahun 2016. Fajar yang menyinsing pada pagi ini merupakan peringatan kepada kita bahawa 2015 telahpun melabuhkan tirainya dan kita telah diberi peluang sekali lagi untuk mencorakkan kehidupan kita semua bagi tahun 2016. 




2015 merupakan sebuah tahun yang menduga kita semua terutamanya dengan peningkatan kos sara hidup, perubahan iklim yang tidak menentu dan pelbagai cabaran di peringkat peribadi dan komuniti. Namun dengan tabah dan bersemangat kita terus menghayun langkah kehadapan dalam usaha menjadikan mimpi kita sebuah realiti. 

Saya ingin menggarapkan dua aspirasi bagi tahun 2016 ini. Pertama agar kita bersama-sama menuju ke arah menjadi seorang pengguna yang berilmu tentang hak kepenggunaan mereka. Kedua agar kita menjadikan isu alam sekitar sebuah perbincangan dan prioritas penting di peringkat nasional. 

Marilah kita terus maju ke hadapan berbekalkan semangat, kecekalan dan ilmu yang kita perolehi daripada tahun 2015. Tahun 2016 ini, saya harapkan bahawa pengguna di seluruh negara terus memainkan peranan mereka dalam memastikan peniaga yang tidak beretika dan tidak bermoral dikesan dan diambil tindakan. Kejadian di sebuah kompleks beli belah di Kuala Lumpur baru-baru ini harus menjadi pengajaran kepada kita untuk lebih mengambil tahu tentang hak kita sebagai pengguna dan bagaimanakah cara-cara yang dibenarkan undang-undang untuk mendapatkan keadilan.

Selain daripada itu, saya ingin mengajak agar kita semua mengambil serius tentang perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar yang sedang berlaku di dunia dan tanah air kita khususnya. Tahun 2016 ini harus menjadi sebuah tahun di mana kita menjadikan perbincangan mengenai isu alam sekitar sebagai dialog nasional. Tidak cukup sekiranya kita hanya melagukan slogan alam sekitar lestari dan bersih tetapi tidak mengambil iktibar daripada kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands, banjir lumpur di Kelantan dan pencemaran bauksit serta pelbagai pencemaran alam sekitar yang berlaku di tanah air kita. 

Cukuplah alam sekitar kita dimamah rakus oleh tauke-tauke yang tidak peduli akan nasib anak cucu kita. Sudah tiba masanya kita buka mata, telinga dan bersuara bagi mewujudkan sebuah kesedaran nasional bahawa kita tidak akan lagi membenarkan alam sekitar kita dimamah rakus oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Sampai bila harus kita tunduk membisu melihat alam sekitar kita menjadi mangsa kegiatan mengaut untung tanpa batasan. 

Sedarkah kita bahawa suhu bumi semakin panas saban tahun? Kita terkadang mengambil enteng tentang isu-isu alam sekitar kerana isu ini tidak selalu memberi kesan langsung kepada kita. Namun begitu, pasti kita sedar bahawa banjir lumpur di Cameron Highlands dan tanah runtuh di Karak berpunca daripada isu alam sekitar. Kita dan bumi tidak dapat dipisahkan. Aktiviti kita mempengaruhi alam sekitar. Sekiranya kita terus mengambil sikap tidak peduli tentang isu alam sekitar maka selagi itulah kita akan terus membaca di dada akhbar tentang bencana alam yang berpunca daripada aktiviti yang merosakkan alam sekitar. 

Melalui Biro Kepenggunaan, Alam Sekitar dan Kualiti Hidup Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Parlimen Belia, kami akan terus berusaha untuk memastikan agar kedua aspirasi ini dapat dijadikan realiti. Marilah bersama dengan saya dalam mewujudkan lebih ramai pengguna yang berilmu dan juga memastikan agar anak cucu kita mempunyai sebuah tanah air yang pokok, tanah dan sungainya tidak dimamah oleh kerakusan kita sendiri.

Rahman Hussin
Exco Pemuda UMNO Malaysia 
Ahli Parlimen Belia Malaysia

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget