KL CHRONICLE: Datuk Seri S @VellPaari : Rakyat perlu peka isu keganasan

Sunday, January 17, 2016

Datuk Seri S @VellPaari : Rakyat perlu peka isu keganasan


KASTHURI JEEVENDRAN 

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Insiden serangan bersenjata di Jakarta, Indonesia baru-baru ini harus membuka mata rakyat negara ini supaya tidak memandang remeh sebarang kegiatan keganasan yang berlaku.



Sebaliknya, masyarakat perlu lebih peka dan mempunyai perasaan ingin tahu yang mendalam terutama dalam isu membabitkan pengganas, pergerakan atau aktiviti melibatkan ciri-ciri keganasan.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, Datuk Seri S. Vell Paari melahirkan kebimbangan beliau berhubung insiden keganasan yang dilakukan oleh kumpulan militan Negara Islam (IS) secara terbuka walaupun hanya bersendirian menggunakan pistol.

“Kumpulan IS ini semakin terdesak.

“Kita perlu jadikan insiden ini sebagai pengajaran dan menghantar mesej jelas bahawa kita tidak akan sesekali bertolak ansur atau bertoleransi terhadap perbuatan keganasan sama ada terhadap umat Islam atau bukan Islam.

“Rakyat Malaysia perlu buka mata bahawa untuk mencapai keamanan, kita harus saling bantu membantu antara satu sama lain. Jangan terlalu teruja menuding jari sebaliknya kita perlu bergandingan menolak anasir pengganas,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Vell Paari mengulas kejadian keganasan sejak akhir-akhir ini yang mencetuskan kebimbangan termasuk perkembangan terbaharu di Jakarta yang mengorbankan tujuh nyawa.

Sebelum ini, insiden melibatkan IS di Paris mengakibatkan 130 orang terkorban dan Istanbul pula menyaksikan seramai 15 orang terbunuh.

Berita pembabitan 17 rakyat Malaysia yang terbunuh dalam kegiatan militan termasuk terbaru membabitkan Mohd Amirul Rashid Abd Rahim, 26, dan Mohd Syazwan Mohd Salim, 31, baru-baru ini juga mengundang kebimbangan sekiranya kumpulan pengganas secara perlahan memasuki negara ini.

Menurut Vell Paari, masyarakat bukan hanya perlu mengutuk kejadian di Jakarta, Paris dan Istanbul malah perlu hidup bersatu padu dan aman damai antara satu sama lain untuk menunjukkan kedamaian kepada dunia luar terutama kumpulan pengganas seperti IS.

“Kadangkala ada juga segelintir pemimpin yang cuba menimbulkan isu perkauman untuk memporak-perandakan kita demi kepentingan politik mereka. Kita perlu elakkan perkara sebegini, jangan biarkan diri kita ‘dijajah’ orang lain.

“Sekiranya orang luar nampak kelemahan kita bergaduh antara satu sama lain berhubung isu sensitif seperti perkauman dan sebagainya, senang juga kumpulan atau pergerakan masuk menular untuk menghancurkan keamanan yang telah lama terbina,” ujarnya.

Beliau juga melahirkan penghargaan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang begitu efisien mengekang ancaman militan dan sentiasa berwaspada terhadap mana-mana aktiviti keganasan, dengan baru-baru ini pihak berkuasa menahan beberapa induvidu yang disyaki terlibat dalam

kegiatan tersebut.

“Kita masih lagi mampu berasa selamat kerana pasukan keselamatan kita sentiasa berwaspada, janganlah kita selalu sangat menuding jari atau memandang negatif terhadap mereka.

“Dalam pada itu, saya mohon pasukan keselamatan untuk memperketatkan lebih banyak kawalan keselamatan di kawasan yang menjadi tarikan pelancong, juga lokasi kedutaan asing,” tegasnya.

- UTUSAN ONLINE

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/luar-negara/perlu-peka-isu-keganasan-vell-paari-1.180326#sthash.JR7jxgYH.dpuf

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget