Anggota Majlis Tertinggi Umno Mukhriz Mahathir menafikan beliau terlibat dalam kumpulan digelar “Team 5M” yang dikatakan akan bertanding dalam pemilihan Umno 2018. Kumpulan "5M" ini dikatakan mendapat restu mantan Presiden UMNO Dr. Mahathir Mohamad.
Mukhriz, yang juga menteri besar Kedah, berkata kumpulan seumpama itu tidak wujud dan beliau tidak menolak kemungkinan ia agenda pihak tertentu yang ingin memecahbelahkan Umno.
"Saya baca (mengenai 'Team 5M') dan terkejut dengan kenyataan tersebut. Sebenarnya ia tidak wujud pun. Saya tidak tahu dari mana datangnya (laporan)... maka boleh saya nyatakan saya bukan sebahagian daripadanya ('Team 5M')," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Baru-baru ini sebuah blog pembangkang melaporkan wujud “Team 5M” yang akan bertanding dalam pemilihan Umno 2018 dengan Timbalan Presiden Umno Muhyiddin Yassin bertanding jawatan presiden Umno.
Laporan yang memetik “sumber dalaman” itu menyebut Mukhriz akan bertanding jawatan timbalan presiden manakala Naib Presiden Umno Mohd Shafie Apdal, pengerusi Badan Perhubungan Umno yang juga Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin dan bekas menteri besar Terengganu Ahmad Said bertanding jawatan naib Presiden.
Pada Isnin, Khaled menafikan beliau terlibat dalam kumpulan “Team 5M” seperti yang didakwa portal berkenaan. – Bernama, 9 Disember, 2015.
No comments:
Post a Comment