Tuesday, September 29, 2015
KENYATAAN AKHBAR YB MENTERI LUAR NEGERI MENGENAI PEMANGILAN DUTA BESAR CHINA KE WISMA PUTRA
Saya ingin menjelaskan bahawa perkara memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra adalah merupakan satu amalan biasa. Ia bertujuan untuk meminta penjelasan daripada beliau tentang kenyataan yang dibuat oleh beliau semasa lawatan beliau ke Petaling Street tempoh hari. Wisma Putra cuma ingin meminta beliau untuk mengesahkan sama ada kenyataan beliau telah disalah tafsir atau sebaliknya.
2. Memanggil Duta Besar asing ke Wisma Putra ini bukanlah kali pertama yang telah kita lakukan. Wisma Putra telah membuat perkara yang sama dengan Duta Amerika Syarikat, Duta Vatican dan Duta Singapura pada masa yang lalu. Amalan ini adalah amalan biasa dan selaras dengan Artikel 41, Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961.
3. Sebagai sebuah negara berdaulat, kita juga perlu menyampaikan pendirian kita kepada China dengan jelas. Dalam perkara ini, setelah berbincang dengan YAB Perdana Menteri, saya membuat keputusan untuk memanggil Duta Desar China untuk hadir di Wisma Putra bagi memberi penjelasan..
4. Saya juga berpandangan bahawa isu ini tidak perlu dibawa ke peringkat Menteri kerana sebagai amalan biasa ianya ditangani di peringkat pegawai kanan di Wisma Putra sahaja.
5. Saya berasa amat dukacita kerana beberapa Menteri Kabinet mengambil beberapa tindakan dan membuat kenyataan akhbar tanpa merujuk kepada saya terlebih dahulu. Untuk makluman, saya tidak pernah sekali pun membatalkan arahan saya untuk memanggil Duta Besar China ke Wisma Putra bagi memberi penjelasan beliau. Sebenarnya perkara ini dapat diselesaikan dengan baik oleh Wisma Putra tanpa campur tangan Menteri-Menteri lain. Sebaliknya campur tangan mereka telah memberikan persepsi yang negatif di kaca mata orang ramai. Saya berharap perkara sebegini tidak akan berulang di masa akan datang.
DATO’ SRI ANIFAH AMAN
28 September 2015
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
LA NIE APA MENTERI PELANCUNGAN NAK KOMEN PULAK ATAS STATEMENT DRPD MENTERI LUAR NEGERI.....TU LA JANGAN MENYEBUK DENGAN KEMENTERIAN LAIN ...JAGA KEMENTERIAN SENDIRI
JANGAN NAK TUNJUK TERLAMPAU PANDAI....
RAKYAT SEKARANG TAHU MENILAI BUKAN MENYOKONG MEMBABI BUTA..................
Post a Comment