Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Tanjong di sini, semalam, membentangkan sembilan usul melibatkan isu pucuk kepimpinan Umno.
Antara usul dibentangkan ialah sokongan penuh kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno merangkap Perdana Menteri untuk pembangunan negara bagi mengembalikan keyakinan rakyat.
Sehubungan saranan itu juga, mereka turut membentang usul menyokong tindakan tegas terhadap media-media yang menyiarkan berita palsu hingga menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap pucuk kepimpinan dan ekonomi negara.
Maka atas dasar kesetiaan dan kecintaan, Umno Tanjong mengusulkan untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat yang memerlukan penjelasan telus dari siasatan yang dibuat bagi menangkis segala tohmahan dilempar kepada kepimpinan negara, kerajaan dan parti.
Persidangan Perwakilan Tahunan Umno Bahagian Tanjung dirasmikan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ir Idris Haron, yang juga Ketua Menteri Melaka, di Hotel St Giles Wembleys, di sini, semalam.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau minta Umno Bahagian Tanjong menyatakan sokongan padu kepada pucuk kepimpinan Umno dengan membelakangkan fitnah yang tersebar dalam media sosial dan media pembangkang.
“Umno satu-satu parti yang menggalas tanggungjawab sepenuhnya memperjuangkan agama Islam, bangsa Melayu dan tanah air.
“Saya meminta ahli Umno tidak mudah percaya fitnah daripada media sosial terutama media dari pembangkang dan viralkan dalam kalangan kawan-kawan kita sendiri. Ini kerana fitnah adalah lebih berdosa daripada membunuh,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya, Ketua Bahagian Tanjong, Datuk Ahmad Ibnihajar berkata, barisan perwakilan Umno Tanjong lebih memberi keutamaan kepada pelapis muda yang terdiri daripada golongan Pemuda dan Puteri untuk mewarisi kepimpinan di peringkat bahagian.
“Golongan muda dalam Umno adalah satu kekuatan untuk melakukan yang terbaik dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pucuk kepimpinan negara dan sokongan rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment