Tuesday, August 11, 2015

Surat Terbuka Buat Saudara Khairy Jamaluddin @khairykj


Assalamualaikum Saudara Khairy,

1. Dulu ketika menjadi Ketua Pemuda UMNO tanpa jawatan Menteri, saudara memberi alasan tidak dapat menggerakkan Pemuda UMNO dan Barisan Nasional sepenuhnya. Saudara Ketua Pemuda tanpa jawatan sukar mencari dana politik dan sumber kewangan.

2. Saya pun tertanya-tanya pada masa itu, dari mana Pemuda UMNO pusat, negeri dan bahagian mendapat sumber kewangan. Pasti ia datang dari dana-dana politik yang dicari oleh Mohd Najib Razak. Dana-dana politik inilah yang memenangkan Barisan Nasional dan meletakkan saudara sebagai Menteri hari ini.


3. Malangnya, apabila dilantik menjadi Menteri saudara tidak berminat mengukuhkan parti mahu pun kerajaan. Saudara hanya berminat menonjolkan diri sendiri. Tidak cukup itu, saudara terloncat-loncat memberi komentar dan pandangan mengenai kementerian orang lain. Terlocat-loncat di dalam iklan dan permainan hari belia mungkin menjadikan saudara popular tapi tidak menyumbang apa-apa kepada kemajuan sukan negara mahu pun kekuatan parti.

4. Hari ini apa yang saudara buat untuk membantu Perdana Menteri yang telah memenangkan pilihan raya 2013? Selain beberapa kali menyanggah keputusan kerajaan, saudara juga menggalakkan EXCO Pemuda dan Pemuda Bahagian menjadi suara penentang kepada pimpinan parti.

Saudara Khairy,

5. Sehingga hari ini tidak nampak langsung jentera pemuda tampil mempertahankan Presiden parti dan Perdana Menteri. Tidak nampak langsung jentera pemuda bergerak mengukuhkan parti berhadapan di saat sukar ini. Malah persatuan belia juga sudah nazak dibawah rejim saudara di Kementeriab Belia dan Sukan.

6. Jika Pemuda tidak mahu menyokong Mohd Najib selagi siasatan tidak selesai, tentulah Pemuda tidak perlu menambah api kepada isu ini. Malangnya, itulah rata-rata yang berlaku di bawah dan saudara tidak melakukan apa-apa kecuali tersenyum sinis.

7. Malah saudara tanpa menyiasat hujung pangkal terus membuat kenyataan bahawa tindakan Ketua Setiausaha Negara mengarahkan dua pegawai SPRM yang “mahu berperang” dengan Polis dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, sebagai satu cubaan menghalang siasatan ke atas Mohd Najib.

8. Jika saudara tidak percaya dan tidak boleh bekerja sebagai satu pasukan kepada Mohd Najib eloklah letak jawatan secara terhormat dan menjadi suara pendesak di luar kabinet. Mungkin satu-satunya sebab saudara kekal dalam kabinet Mohd Najib kerana Perdana Menteri tidak mahu mengeruhkan hubungan beliau dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

9. Namun apa guna saudara berada dalam kabinet jika saudara tidak mahu membantu kabinet? Ketika kepimpinan negara diasak dari pelbagai sudut, tidak adil sama sekali saudara menjadi seperti duri dalam daging dalam pentadbiran.

Saudara Khairy,

10. Rata-rata pemuda di bawah tidak berpuas hati dengan isu dana pilihan raya ini diuruskan oleh akaun peribadi Mohd Najib bukannya akaun UMNO. Mereka tidak berpuas hati kerana saudara sendiri tidak melakukan apa-apa meredakan keadaan. Saudara sendiri tentu lebih mengetahui hal dana politik ini kerana saudara khabarnya antara orang kepercayaan Tun Abdullah untuk pilihan raya 2008.

11. Gosip-gosip politik ialah saudara berjaya mengumpul dana RM 1 bilion untuk pilihan raya 2008. Benarkah gosip ini? Jika benar, ia dari mana? Adakah dari Kesultanan Brunei? Duit tersebut masuk ke akaun siapa? Adakah wang tersebut dibelanjakan untuk parti bagi tujuan pilihan raya atau untuk pemilihan parti kemudiannya?

12. Untuk EXCO-Exco pemuda dan Ketua Pemuda Bahagian yang taksub mahu menurunkan Mohd Najib Razak supaya saudara cepat naik, elok saudara nasihatkan mereka bersabar.

13. Beritahu mereka tengok dulu dana Sport & Recreation Community Club dibelanja dengan cara betul atau sudah menyimpang? Agaknya inilah tujuan saudara membela dua pegawai SPRM tersebut?

14. Akhir kata saudara Khairy, sebahagian kami masih belum lupa isu menghantar pasport kepada Anwar Ibrahim, kisah insider trading ECM Libra, mahu pun kisah Tingkat Empat suatu ketika dulu dan bagaimana jawatankuasa disiplin UMNO menyelamatkan saudara dengan hanya memberi amaran atas kesalahan politik wang, sedangkan Ali Rustam dilarang bertanding.

15. Jika saudara hendak berlagak seperti “holier than thou” saya hanya boleh kata piirahhh! Jika saudara rasa Mohd Najib sudah tidak boleh dipertahankan, jalan terbaik saudara meletak jawatan secara terhormat sebagai Menteri.

Wassalam,

Amin Yatim
Petaling Jaya

2 comments:

  1. MASALAH SEKARANG, ORANGN MELAYU SEBOK NAK "LONDEH"/"BUKA" SELUAR DALAM /COLI SESAMA MELAYU. ORANG CINA TAK PERNAH HEBOH DARI MANA MEREKA DAPAT DUIT, CONTOH KERAJAAN DAP PP YG DAPAT SOKONGAN KEWANGAN DARI NEGARA ASING. APA PERLU "SURAT TERBUKA" NAK DIMUATKAN DALAM MEDIA SOSIAL.KALAU SAUDARA YANG MENGHANTAR SURAT TERBUKA NI HEBAT SANGAT SERTAILAH MANA-MANA PARTI POLITIK DAN BERPOLITIKLAH. ASYIK NAK KUTUK SANA KUTUK SINI. YANG UNTUNG MUSUH POLITIK SENDIRI.

    ReplyDelete
  2. baguslah hantar surat terbuka daripada surat layang..surat tertutup telah diberi kpd semua ketua bahagian umno, wanita umno, pemuda umno dan puteri umno tatapi ada segelintir mereka yg x membuka surat tertutup tersebut dan lebih suka membuka surat layang..itulah yg jd bangang

    ReplyDelete