Sunday, August 2, 2015

Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu kumpul peserta dari seluruh dunia


Rata-rata peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2015 mengakui penglibatan mereka dalam pertandingan tersebut menjadi batu loncatan untuk menyertai bidang kerjaya profesional kelak.



Peserta dari Rusia, Pavel Naidenov, 19, berkata, pertandingan itu juga bakal menjadi platform untuk melihat kemampuan dirinya dalam menguasai bahasa Melayu selepas dua tahun mempelajari bahasa tersebut di Moscow State University.

Katanya, minat mempelajari bahasa asing telah dipupuk oleh ibu dan ayahnya sejak di bangku sekolah malah selain bahasa Melayu, dia turut menguasai bahasa Inggeris dan bahasa Perancis dengan baik.

“Walaupun agak sukar untuk saya menguasai bahasa Melayu kerana lenggok bahasa ini lebih lembut berbanding bahasa lain namun saya akan berusaha me­lakukan terbaik dalam pertan­dingan pidato Selasa nanti.

“Sekiranya saya menang, sekurang-kurangnya ia dapat memberi nilai tambah untuk saya menjadi diplomat di mana-mana kementerian di negara saya satu hari nanti,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

PABM akan bermula Selasa ini melibatkan seramai 71 peserta dari seluruh dunia bagi menunjukkan kemampuan bangsa asing menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Terdapat tiga kategori dipertandingkan iaitu Antarabangsa, Alam Melayu dan Peserta Antarabangsa di Malaysia dengan melibatkan 27 juri dari pelbagai agensi antaranya pegawai Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (Madum).

Sementara itu, peserta Belgium, Egide Van Der Heide, 24, berkata, bahasa Melayu tidak begitu sukar untuk dirinya kerana proses pembelajaran bagi penulisan dan pertuturan bahasa tersebut tidak jauh berbeza.

“Cabaran utama dalam menguasai bahasa Melayu adalah perbezaan antara bahasa negara ini dengan Indonesia, ada yang sama dan ada juga yang jauh berbeza misalnya perkataan susah juga turut disebut sukar atau sulit.

“Jadi saya perlu berfikir terlebih dahulu mengenai penggunaan perkataan sebelum bertutur kerana bimbang menjadi kebiasaan sehingga menjejaskan cara penyampaian pidato saya nanti,” katanya yang bercita-cita menjadi wartawan politik.

Dalam pada itu, Akramov Shukhrat, 29, dari Tajikistan pula berharap mampu meraih sebarang tempat dalam penyertaannya kali kedua selepas hanya memperoleh hadiah saguhati pada tahun lalu.

“Saya sebenarnya takut dan risau dengan tahap penguasaan bahasa Melayu saya ketika ini kerana telah hampir tiga tahun menamatkan pengajian bahasa di Universiti Telkom, Indonesia.

No comments:

Post a Comment