Friday, July 31, 2015

Pembiayaan Politik: Menangani Realiti oleh @mpkotabelud


31 Julai 2015
Datuk Abdul Rahman Dahlan
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional

Pertamanya, mari kita berbincang mengenai fakta. Sumbangan untuk politik adalah sah dari segi undang-undang Malaysia.

Jika anda mempunyai kecenderungan terhadap sesebuah parti politik dan meyakini perjuangannya, anda boleh membantu mereka mencapai matlamat dengan menyumbang wang dan/atau aset. Sebetulnya, anda boleh menyumbang seberapa banyak yang dimahukan: RM10, RM1,000 atau sejuta ringgit  - malah satu bilion ringgit sekalipun - jika mampu berbuat demikian.



Mengimbas kembali, saya pernah menganggotai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama lima tahun (2008-2013). Saya tahu barisan anggota SPRM berusaha keras untuk mendapatkan persetujuan parti politik dalam mewujudkan prosedur lebih telus berhubung sumbangan politik. SPRM berhasrat mahu melihat semua sumbangan diisytihar secara rasmi atas nama ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Apabila SPRM mula-mula mencadangkan perubahan dari segi pembiayaan politik, pemimpin politik pertama yang menyokong idea itu mungkin mengejutkan anda. Tidak lain tidak bukan, ia adalah Datuk Sri Najib Tun Razak, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO yang secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap cadangan SPRM dan mahukan ia dilaksanakan serta dimasukkan ke dalam inisiatif Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Antara parti yang paling awal membantah reformasi pembiayaan adalah DAP. DAP memberi alasan yang mementingkan diri - dan itu amat mengecewakan. Pemimpin DAP bimbang perubahan berkenaan bakal merugikan parti terbabit.

Dalam mesyuarat Transparency International – Malaysia (TI-M) bersama Ahli Parlimen Pakatan Rakyat pada 1 Disember 2010, minit mesyuarat melaporkan Tian Chua sebagai berkata: "Beliau bimbang pengisytiharan penuh akan menjejaskanpenyumbang dan seterusnya menjejaskan pembiayaan bagi parti pembangkang,  kebimbangan bahawa penyumbang mungkin didakwa oleh parti yang menang kerana menyokong pakatan pembangkang dalam mana-mana pilihan raya umum. Ini dengan sendirinya akan menyebabkan pengurangan sumber kewangan bagi pakatan pembangkang." Ahli Parlimen DAP dari Rasah, Anthony Loke turut menyuarakan perkara sama menerusi Forum Majlis Peguam mengenai pembiayaan politik pada 29 September 2011.

Berdasarkan alasan sama, mengapa Pakatan Rakyat tidak boleh mendedahkan sumbangan diterima daripada ahli perniagaan dan individu sejak 2008 di dua negeri terkaya di Malaysia yang diperintahnya - Pulau Pinang dan Selangor? Jelas sekali, kebimbangan seperti disuarakan Tian Chua dan Anthony Loke tidak lebih daripada alasan remeh dan bukannya atas nama ketelusan.

Semua pihak mengetahui parti pembangkang agak kreatif dalam meraih dana bagi menampung operasinya. Bukan rahsia juga bahwa mereka menerima pembiayaan politik daripada ahli perniagaan dan individu yang menyokong perjuangan, selain penganjuran majlis makan malam amal yang berkesan dan diadakan hampir setiap minggu (jika bukan setiap malam).

Walaupun tiada yang terkejut jika pembiayaan diterima daripada sumber domestik, ramai yang membuat spekulasi bahawa parti pembangkang turut menerima sumbangan daripada sumber luar negara. Sesetengahnya berselindung sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya membiayai bagi kemajuan aspirasi demokratik. Lebih kurang begitulah.

Kembali kepada isu diperkatakan dan dengan bantahan keras daripada DAP, inisiatif perubahan pembiayaan politik terpaksa dilupakan - tanpa sempat dimulakan. Ia tidak pernah digerakkan. Ia terbantut. Sehingga sekarang, ramai yang sukar mempercayai mengapa DAP - parti politik yang menjulang dirinya sebagai parti reformis - tidak bersetuju dengan idea berkenaan.

Bagi kebanyakan pihak, sumbangan politik adalah amat penting bagi DAP. Justeru, sebarang gangguan terhadap aliran pembiayaan politik akan memusnahkan rancangan besar DAP ke arah membentuk Malaysian Malaysia. Jika tidak, tentangan jelas DAP terhadap inisiatif perubahan seperti ini tentungan kelihatan aneh.

Gara-gara DAP, Malaysia kehilangan peluang keemasan untuk menangani kebimbangan banyak pihak terhadap kerahsiaan yang melingkari pembiayaan politik di negara ini.

Oleh itu, saya dapati agak menghairankan kebelakangan ini apabila pemimpin DAP seperti  Tony Pua dan Lim Kit Siang kelihatan hipokrit dalam mendesak Dato' Sri Najib mendedahkan sumber pembiayaan politik bagi BN dan UMNO, sedangkan mereka dengan keras menentang inisiatif perubahan pembiayaan politik sejak awal.

Saya teringat perbahasan di Parlimen selepas Pilihan Raya Umum ke-12. Saya bertanya kepada Ahli Parlimen DAP dari mana DAP mendapat wang yang banyak bagi membina ibu pejabat parti yang baru bernilai jutaan ringgit di Pulau Pinang dalam tempoh 2 tahun Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri. Tambahan pula, saya katakan, Gerakan mengambil masa 12 tahun untuk membina ibu pejabatnya yang kebetulan hanya merupakan sebuah premis biasa. Saya turut mengingatkan DAP supaya tidak melupakan asal usul sosialis parti itu, termasuk menolak sebarang bentuk kemewahan.

Bagai dirancang, beberapa Ahli Parlimen DAP bangkit dan mencelah bagi mengganggu perbahasan saya. Seorang daripadanya, Ahli Parlimen DAP dari Bruas, Ngeh Koo Ham, menjerit dari tempat duduknya dan mengatakan DAP mempunyai ramai penyokong yang sanggup memberi sumbangan wang ringgit kepada DAP.

Dalam satu lagi contoh, pada Pilihan Raya Umum 2008 di Permatang Pauh (ketika Anwar Ibrahim bertanding kerusi Parlimen) buat pertama kalinya dalam kerjaya politik saya, BN benar-benar berhabis dari segi logistik dan jentera pilihan raya seperti poster, kain rentang dan aktiviti kempen.

Saya masih ingat, setiap kali pekerja parti BN memacak satu bendera BN, ia pasti ditenggelami oleh bendera pembangkang dalam tempoh dua jam. Setiap kali BN memasang kain rentang besar, pembangkang akan melakukan perkara sama dengan kain rentang yang dua kali besar saiznya pada hari yang sama.

Ternyata, tanpa pembiayaan politik yang banyak, parti pembangkang tidak mungkin dapat menggerakkan jentera pilihan raya secara besar-besaran.

Berdasarkan persekitaran pembiayaan politik sedemikian, BN juga tidak terlepas daripada amalannya. Saya harap Tun Dr Mahathir Mohamad mengingati catatan dalam blognya yang disiarkan pada 13 Jun 2008, yang mana beliau mengaku menyerahkan lebih RM1.4 bilion – dalam bentuk tunai dan aset - kepada Presiden UMNO yang baharu ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2003. Itu adalah nilai tunai dan aset UMNO pada waktu itu.

Melangkah 12 tahun ke hadapan ke hari ini, dengan mengambil kira inflasi sepanjang beberapa tahun dan cabaran lebih hebat dalam membiayai jawatankuasa Badan Perhubungan Negeri UMNO dan BN di empat negeri (Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan) sejak 2008, saya tidak akan terkejut jika pucuk pimpinan perlu bersikap lebih proaktif dalam mendapatkan pembiayaan daripada penyokong serta penyumbang.

Di akhirnya, kini wujud keperluan lebih mendesak untuk mengawasi pembiayaan politik dan hakikat ini tidak boleh dinafikan oleh pembangkang terutama DAP.
Bagaimanapun, sementara menunggu lonjakan keyakinan itu menjadi kenyataan dalam kalangan pakatan pembangkang, tiada pihak yang berhak mendabik dada dan mendakwa dirinya lebih baik berbanding yang lain.

-tamat-

No comments:

Post a Comment