Wednesday, July 29, 2015

Kini Pemuda UMNO Sokong Tindakan @NajibRazak , Tetap Hormat Muhyiddin Yassin

KENYATAAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menghormati kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk menentukan anggota pentadbiran kerajaan. Atas prinsip tersebut, kami akur dan menghormati keputusan Dato' Sri Mohd Najib Tun Razak untuk membuat rombakan jemaah menteri semalam. 




Pemuda UMNO berharap dengan rombakan ini, kerajaan dapat diperkukuhkan lagi untuk mengembalikan keyakinan rakyat dengan membuktikan bahawa amanah yang dipikul tidak sesekali di kompromi dan kepentingan rakyat sentiasa didahulukan. 

Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Pemuda UMNO tetap menghormati beliau sebagai Timbalan Presiden UMNO, begitu juga Datuk Seri Shafie Apdal selaku Naib Presiden UMNO.

Pemuda UMNO berharap rombakan jemaah menteri ini tidak dijadikan pencetus oleh mana-mana pihak kepada perpecahan dalam parti. UMNO memerlukan seluruh kepimpinan dan keahliannya untuk merapatkan barisan bagi menghadapi cabaran pilihanraya umum kelak. 

Pemuda UMNO juga berharap bahawa antara isu yang menghakis keyakinan rakyat seperti 1MDB perlu terus disiasat. Rakyat perlu kebenaran dalam isu ini melalui proses siasatan yang sedang berlangsung oleh pasukan siasatan khas, Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC). Institusi-institusi tersebut perlu diberikan masa dan kebebasan untuk menjalankan tugas mereka tanpa sekatan mahupun provokasi dari mana-mana pihak. 

Sekarang hanya tinggal kurang tiga tahun sebelum pilihanraya umum akan datang. Inilah masa untuk kita bersatu, menggembelengkan tenaga dan menyatukan hati untuk membuktikan bahawa tradisi parti yang membela rakyat masih subur dikalangan ahli. 

Pepatah Negeri Sembilan ada menyebut, antan samo antan berlago ayam topi losung yang konyang. 

Bersatulah kita mencari kebenaran dan kembalikan kekuatan parti tercinta. 

29 Julai, 2015

No comments:

Post a Comment