KL CHRONICLE: Hasil Usaha PM @NajibRazak , Kini PRASARANA Hantar 300 Petugas ke Arab Saudi @azmiaziz60 @shahrilmokhtar @myrapidkl

Sunday, July 12, 2015

Hasil Usaha PM @NajibRazak , Kini PRASARANA Hantar 300 Petugas ke Arab Saudi @azmiaziz60 @shahrilmokhtar @myrapidkl


Persiapan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk menjalankan operasi rel Laluan Al Mashaaer Al Mugaddasah Makkah Metro untuk kemudahan jemaah haji tahun ini berjalan lancar.

Mengumumkan ini hari ini, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Dato’ Azmi Abdul Aziz berkata Kerajaan Arab Saudi telah menyatakan rasa puas hati dengan segala persiapan yang telah dijalankan oleh Prasarana sejak mengambil alih operasi daripada operator terdahulu, China Railway Construction Corporation (CRCC) pada bulan Mei lepas.

“Status kemajuan projek adalah amat baik. Tiap-tiap minggu, kami mengadakan mesyuarat dengan kementerian yang bertanggungjawab. Kerajaan Arab Saudi amat berpuas hati dengan kerja-kerja kita di sana setakat ini,” kata Dato’ Azmi kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) untuk menghantar delegasi staf untuk bertugas di Laluan Al Mashaaer Al Mugaddassah.






Seramai 51 staf, yang kebanyakannya daripada bidang penyelenggaraan rel, berlepas hari ini untuk bertugas di Laluan Al Mashaaer Al Mugaddassah sehingga selesai operasi haji musim ini. Mereka dijadualkan pulang pada awal Oktober nanti.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ahli Pengarah Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Shahril Mokhtar dan para pegawai tinggi Prasarana dan Rapid Rail Sdn Bhd – anak syarikat Kumpulan Prasarana.




"Kami menghantar staf secara berperingkat berdasarkan tugasan yang perlu dilaksanakan. Ada yang telah pergi jauh lebih awal dan ada yang akan pergi bertugas selepas Hari Raya nanti. Secara keseluruhan nanti, kita akan meletakkan 300 staf Prasarana untuk bertugas di sana".

“Pada masa yang sama, kami juga dalam proses untuk rekrut 7,000 kakitangan tempatan dari Arab Saudi dan negara-negara Timur Tengah,” kata Dato’ Azmi, sambil menambah bahawa operasi Laluan Al Mashaaer Al Mugaddassah diketuai oleh Haji Bukhari Mohamed, yang sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi LRT Laluan Ampang.


“Kami memilih Haji Bukhari berdasarkan pengalaman luas beliau. Beliau adalah antara orang paling lama bertugas dalam Prasarana dan mula bertugas sejak zaman PUTRA-LRT sebelum memegang jawatan-jawatan lain dalam Rapid KL dan Prasarana. Dia adalah pilihan yang tepat untuk melaksanakan tugas ini,” kata Dato’ Azmi.

Ketika berucap kepada mereka yang berlepas ke Mekah, beliau mengingatkan mereka supaya sentiasa menjaga nama baik Prasarana dan juga negara.

“Saya ingatkan mereka bahawa mereka bukan saja menjadi duta kepada Prasarana tetapi juga kepada negara Malaysia. Prestasi kerja yang cemerlang adalah penting bukan saja akan mengharumkan nama Prasarana dan Malaysia tetapi juga membuka peluang-
peluang baru untuk Syarikat.

“Saya juga mengingatkan bahawa keadaan di Tanah Suci sekarang adalah amat mencabar. Suhu adalah di tahap yang tinggi dan mereka perlu bijak menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca. Mereka juga perlu cepat menyesuaikan diri dengan operasi
kerja di sana kerana sistem yang digunakan di Arab Saudi adalah berbeza dengan sistem yang digunakan di Malaysia.

“Saya juga ingatkan mereka untuk bersabar dan memberi fokus terhadap kerja. Mereka tinggalkan keluarga pada masa yang paling emosional sekarang menjelang beberapa hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri. Mereka juga akan tidak bersama pada Hari Raya Korban
kerana perlu membantu umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan ibadat haji,” tambah beliau.

Dengan jumlah nilai SAR 807 juta, kontrak yang dimenangi oleh Prasarana melibatkan operasi dan penyelenggaraan sepenuhnya Laluan Al Mashaaer Al Mugaddasah – Makkah Metro dari Arafah ke Mina, yang merupakan perkhidmatan metro untuk kemudahan jemaah semasa musim Haji. Kontrak adalah untuk tempoh tiga tahun sehingga 2018.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget