Jemaah haji Malaysia bakal menikmati kemudahan pengangkutan kereta api Metro Line yang akan beroperasi pada musim haji tahun ini, umum Datuk Seri Najib Razak.
Perdana menteri berkata, Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) mendapat kontrak RM900 juta mengendalikan perjalanan yang menghubungkan Arafah, Muzdalifah dan Mina itu.
"Kalau kita naik haji musim ini kita akan naik Metro Line, operatornya Prasarana dan orang Islam dari Malaysia yang mengendalikan Metro Line," katanya ketika berucap pada program agihan kurma, air zam-zam dan baju anjuran Biro Kebajikan Umno di Masjid Negara, hari ini.
Pembinaan kereta api elektrik itu sepanjang 45.1km termasuk 24.9km rangkaian rel bawah tanah, melibatkan 22 hentian stesen dan dikendalikan Prasarana.
Najib berkata, hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi amat penting kerana pihaknya menunggu kelulusan daripada negara itu bagi membenarkan penambahan kuota jemaah haji tahun ini.
Katanya, Arab Saudi juga semasa krisis di Mesir tidak membenarkan mana-mana negara kecuali Malaysia menggunakan ruang udaranya membawa pelajar negara ini keluar dari zon konflik mereka.
"Sebab itu kita kena jaga imej negara Malaysia yang dipimpin parti keramat Umno. Kalau kita burukkan imej, siapa yang rugi? Kita yang rugi," katanya.
Beliau dipercayai merujuk tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa cuba memburukkan negara dengan menghantar surat terbuka kepada pengarang akhbar Amerika Syarikat, The New York Times.
Najib berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana negara berada di landasan yang benar.
"Jangan bimbang, kita berada atas landasan yang betul. Cuma yakin dan istiqamah, kita akan dapat kejayaan," katanya.
No comments:
Post a Comment