Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil maklum bahawa KTMB telah mengemukakan perancangan pengoperasian semula perkhidmatan tren antara Gemas-Gua Musang serta Kemubu-Bukit Abu; yang dicadangkan akan bermula pada pertengahan bulan Julai 2015, setelah kerja-kerja pemulihan sementara landasan siap dijalankan.
SPAD telah menjalankan pemeriksaan landasan yang terperinci pada 21 Mei 2015. Lanjutan itu, KTMB telah membentangkan kepada SPAD pada 25 Mei 2015 mengenai kerja baikpulih dengan memberi fokus kepada pemulihan sementara landasan di antara Gemas-Gua Musang dan Kemubu-Bukit Abu, untuk mengembalikan keadaan landasan kepada tahap selamat bagi penggunaan dan operasi tren.
KTMB dengan itu merancang untuk memulakan operasi secara separa sebelum kerja-kerja keseluruhan pembaharuan landasan siap, dengan jaminan bahawa langkah-langkah kawalan yang ketat akan diutamakan. Kerja-kerja pemulihan sementara landasan tersebut merangkumi kerja-kerja seperti pelebaran semula longkang, pengukuhan struktur landasan dan cerun, selipar kayu dan klip landasan yang baru.
Kerja-kerja pembaikan secara keseluruhannya di sepanjang koridor yang terjejas teruk akibat banjir akan dijalankan oleh kontraktor yang dilantik Kementerian Pengangkutan Malaysia dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2017.
Bagi memastikan langkah-langkah kawalan serta persediaan untuk operasi secara separa dibuat dengan rapi, KTMB perlu mematuhi keperluan yang telah ditetapkan Suruhanja Pengankutan Awam Darat sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Sejurus itu KTMB telah diarah oleh SPAD untuk mengemukakan semula permohonan bagi pembukaan separa landasan serta operasi tren tersebut setelah kerja-kerja pemulihan dilaksanakan berserta dokumen sokongan dan pengesahan perunding bebas bahawa keadaan landasan telah diperiksa dan selamat untuk kembali beroperasi.
Oleh itu, tarikh bagi pembukaan landasan dan perkhidmatan tren di sektor Gemas-Gua Musang dan Kemubu-Bukit Abu akan ditentukan oleh SPAD setelah KTMB memenuhi semua kerja pemulihan sementara landasan tersebut serta syarat-syarat keselamatan yang telah ditetapkan oleh SPAD. Sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAD, KTMB akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap aspek-aspek keselamatan, penyelenggaraan dan operasi tren.
No comments:
Post a Comment