Kerajaan persekutuan sedang memberi perhatian yang lebih untuk membangunkan Kelantan supaya tidak ketinggalan ketika Malaysia mencapai negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata setakat ini, Kelantan masih jauh ketinggalan dari aspek pembangunan berbanding negeri lain termasuk kemudahan infrastruktur seperti lebuh raya, lapangan terbang dan kemudahan air bersih.
"Kita tidak mahu Kelantan tercicir kerana sekarang ini masih ketinggalan, banyak perkara yang perlu dilakukan. Ini cabaran besar bagi Kelantan seiring dengan negeri lain dalam mencapai status negara maju.
"Kita harap kerajaan negeri (pimpinan PAS) memainkan peranan membela rakyat Kelantan dan tidak mengharapkan sepenuhnya kepada kerajaan persekutuan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan malam sempena Perayaan Hari Guru peringkat negeri Kelantan 2015 di Kota Baru malam tadi.
Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata tiga projek utama di Kelantan yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa membentangkan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) baru-baru ini, akan menjadi pemangkin pembangunan di negeri ini.
Tiga projek berkenaan ialah pembinaan Lebuh raya Kota Baharu-Kuala Krai, projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, dan projek tebatan banjir Sungai Kelantan secara bersepadu melalui pembinaan empangan Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir.
Mengenai projek pembinaan Lebuh Raya Rakyat oleh kerajaan negeri, Mustapa berkata terdapat kemungkinan kerajaan negeri menyerahkan projek itu kepada kerajaan persekutuan kerana ia didakwa menghadapi banyak masalah.
Kerajaan Kelantan melancarkan secara rasmi operasi pembinaan Lebuh raya Rakyat sepanjang 30.5 kilometer dari Bukit Bakar, Machang sehingga Dusun Damar, Kuala Krai pada Ogos tahun lepas namun sehingga sekarang kerja-kerja pembinaan masih tidak bermula.
Projek yang menelan belanja RM854 juta itu pada awalnya dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga atau empat tahun iaitu Disember 2017.
No comments:
Post a Comment