KL CHRONICLE: China v Malaysia Match Highlights - Antwerp Men's HWL (2015)

Monday, June 22, 2015

China v Malaysia Match Highlights - Antwerp Men's HWL (2015)




‘KEMENANGAN BUAT KUMAR’

Oleh Sufian Hadi Sojak

KUALA LUMPUR - “Kemenangan ini adalah untuk S. Kumar”.

Itu kata penyerang sensasi, Faizal Saari selepas membantu Malaysia menumpaskan China 3-2 dalam aksi pembukaan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di Antwerp, Belgium semalam.
Kemenangan tersebut memastikan misi Malaysia untuk memburu tiket Sukan Olimpik buat kali pertama selepas 15 tahun bermula sempurna.



Biarpun skuad Speedy Tigers memulakan aksi dengan penuh emosi selepas berdepan dua insiden menyayat hati, namun ia bukan penghalang untuk mereka melunaskan hajat meruntuhkan negara tembok besar itu agar laluan ke suku akhir lebih cerah.

Baru-baru ini kem negara dikejutkan dengan pemergian anak bongsu penjaga gol utama, Kumar ekoran jangkitan kuman sehingga memaksanya bergegas pulang ke tanah air.
Ketiadaan Kumar menyaksikan Roslan Jamaluddin, yang pernah menjadi penjaga gawang utama negara, diberi tanggungjawab menjadi benteng ter­akhir.

Sebelum itu penyerang muda Muhammad Haziq Shamsul kehilangan ibunya akibat masalah paru-paru bulan lepas.

“Hari ini kami membuktikannya dengan menang 3-2 ke atas China. Saya sangat gembira kerana dapat membuka tirai jaringan untuk Malaysia.

“Kemenangan ini sangat pen­ting untuk memperoleh keyakinan sekali gus menyuntik semangat untuk perlawanan kedua.

“Impian saya adalah beraksi di pentas Olimpik, jadi saya mahu merealisasikannya dengan bermain bersungguh-sungguh,” kata Faizal sejurus tamat permainan.

Pada perlawanan pembukaan Kumpulan B di Stadium KHC Dragons itu, Malaysia memperoleh gol menerusi Faizal pada minit ke-17 sebelum rakan sejawatannya, Muhammad Haziq, menambah jari­ngan, 12 minit kemudian.

China bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi jaringan Guo Xiaoping pada minit ke-37, namun skuad kebangsaan menjarakkan kembali dengan gol ketiga hasil pukulan sudut penalti Muhd. Razie Abdul Rahim 10 minit selepas itu.

Zhang Zhixuan cuba mengejar kembali kedudukan pada minit ke-54, namun ia sudah terlambat buat China.

“Memang susah bermain dalam perlawanan pertama, tetapi kita masih dapat mengawal permainan sehingga memperoleh dua gol sebagai pembuka tirai jaringan.

“Selepas itu kita bolos disebabkan kelemahan pertahanan. Tiga kad yang diterima juga mengganggu rentak pada suku ketiga dan keempat perlawanan.

“Saya harap prestasi skuad kebangsaan akan lebih konsisten dalam pertemuan seterusnya menentang Ireland. Objektif lawan China tercapai dengan tiga mata,” kata jurulatih kebangsaan, Tai Beng Hai yang menyifatkan kemenangan itu penting dalam laluan ke Sukan Olimpik 2016.

Malaysia akan berdepan Ireland Khamis ini, diikuti Belgium (Jumaat) dan Britain (Ahad) dalam saingan Kumpulan B.


No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget