KL CHRONICLE: Kini Tuan Ibrahim Sedia Cabar Mat Sabu, Mahu Golongan Ulama Terus Tadbir PAS

Friday, March 13, 2015

Kini Tuan Ibrahim Sedia Cabar Mat Sabu, Mahu Golongan Ulama Terus Tadbir PAS



Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan kesediannya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu pada Muktamar PAS tahun ini sekiranya mendapat pencalonan dari mana-mana kawasan untuk jawatan itu.

Beliau berkata, dua elemen utama yang diberi fokus oleh beliau sebelum bersetuju untuk bertanding mana-mana jawatan ialah keperluan dan kemampuannya menggalas amanah tersebut.


“Dulu (dalam muktamar) sebelum ini pun, memang ada cadangan untuk saya bertanding jawatan seperti Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa PAS pusat.

“Ketika itu, dengan kemampuan saya, cukup jadi naib presiden, namun kali ini jika ada pencalonan (untuk jawatan Timbalan Presiden), saya akan tengok…saya akan istikharah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena pengumuman program Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah kali ketiga dekat Rusila di Marang.

Pemilihan Jawatankuasa Pas Pusat akan diadakan setiap dua tahun dan bagi pemilihan jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang dijangka pada 1 Jun ini.

Ditanya mengenai tindakannya menolak pencalonan dari PAS Kota Bharu untuk bertanding jawatan presiden, Tuan Ibrahim menjelaskan, ia berikutan tiada keperluan untuk menukar presiden ketika ini, iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Ketika dunia mengangkat beliau, kita anggota PAS sepatutnya lebih memberi sokongan kepada beliau dengan begitu banyak kejayaan yang dicapai sepanjang kepimpinannya.

“Namun saya hormati pencalonan dari kawasan (Kota Bharu) itu, saya melihat keihklasannya dan pandangan dari mana-mana kawasan (untuk muktamar) itu adalah demokrasi dalam parti,” ujarnya, lapor Bernama.

Ini berikutan sebelum ini Yang Dipertua PAS Kota Bharu Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pernah mencadangkan nama Tuan Ibrahim sebagai presiden bagi menggantikan Hadi demi menyatukan kembali PAS dan mendakwa yakin Hadi tidak akan mempertahankan jawatan itu demi kepentingan PAS yang sedang berpecah teruk sekarang ini.
Ketika ini, jawatan Timbalan Presiden PAS disandang oleh Mohamad Sabu manakala Abdul Hadi tidak pernah dicabar sejak beliau mengambil alih kerusi presiden daripada Datuk Fadzil Noor pada 2002.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget