Seorang pekerja maut dan seorang lagi tercedera dalam kemalangan di tapak pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) Semantan, di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp), seorang lagi pekerja, Rozlu Karim bagaimanapun terselamat daripada sebarang kecederaan.
"Dalam kejadian pada pukul 1:20 tengahari itu, pekerja pekerja terbabit sedang memasang kerangka besi tetulang, apabila ikatan antara besi tersebut dan kerangka terputus. Besi-besi tersebut telah jatuh di atas pekerja pekerja terbabit.
"Tiga warga Bangladesh disahkan terlibat dalam kejadian tersebut. Seorang daripadanya, Rijaul Abdul Goni, 40 tahun, mati di tempat kejadian. Seorang lagi, Shanaullah, 37 tahun, tercedera dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur," kata Pengarah Komunikasi Strategik & PR MRT Corp Amir Mahmood Razak dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Amir, polis dan jabatan forensik tiba di tempat kejadian pada pukul 3:00 petang dan siasatan sudah pun dimulakan untuk menentukan punca kejadian.
“Jenazah Allahyarham Rijaul dihantar ke hospital untuk tujuan post-mortem. Ini akan menjelaskan punca kematian beliau, dan kami akan mengumumkan maklumat ini kelak," katanya.
Semua kerja di kawasan V4 Portal Semantan telah ditangguhkan sehingga siasatan selesai.
Amir berkata, MRT Corp kesal dengan kejadian tersebut dan akan mengumumkan maklumat lanjut sekali lagi hari ini.
No comments:
Post a Comment