Friday, February 20, 2015

Kisah @Anwaribrahim digigit nyamuk menggelikan hati – Bekas banduan

KETUM tidak dapat tidur dalam penjara kerana digigit nyamuk

“Saya tergelak apabila baca cerita Wan Azizah tentang tidur Anwar (Ibrahim) terganggu sebab nyamuk.



“Agaknya pada fikiran Wan Azizah, penjara itu satu tempat yang selesa ke?,” perlahan tutur kata Shidi ketika ditemui di sebuah gerai.

Shidi merupakan bekas banduan Penjara Kajang pada akhir tahun 1980an dan kini bertugas sebagai seorang penyelia.

Sambil memandang penulis, Shidi berkata, tidak ada sesaat pun yang indah ketika ‘menginap’ dalam penjara kecuali menunggu masa lawatan keluarga semasa Hari Raya dan ketika hendak dibebaskan, lapor MalaysiaGazette.

Beliau yang menjalani hukuman hampir dua tahun berkata, tanyalah kepada mana-mana bekas banduan pun, mereka pasti mengakui bahawa hati, fikiran berkecamuk dan seluruh deria seolah-olah meronta-ronta sebaik sahaja kaki melangkah ke pintu masuk penjara.

“Kebebasan, keselesaan dan kegembiraan hidup yang dinikmati di luar hampir tiada di dalam penjara. Yang ada adalah tembok yang mengelilingi kami. Siang atau malam sama sahaja bagi kami.

“Setakat nyamuk, bau yang kurang menyenangkan itu biasalah. Nama pun dalam penjara.

“Di mana-mana pun ada nyamuk dan nyamuk itu pun bukan gigit Anwar sahaja, banduan lain pun digigit nyamuk juga,” katanya sambil menghirup air kopi.

Shidi memberitahu, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih beruntung kerana dengan statusnya dia masih boleh meminta pihak penjara menyediakan tilam setebal dua inci dan kemudahan tandas lebih baik, selain beliau ditempatkan di dalam bilik dan bukan sel.

Berbanding banduan lain yang terpaksa tidur bertilamkan lantai dan hanya berselimutkan baju nipis serta berkongsi sel dengan rakan-rakan banduan lain.

Shidi mengakui jelek membaca kisah Anwar di penjara kerana keluarga-keluarga banduan lain tidak mempunyai peluang istimewa untuk meminta apa-apa daripada pihak penjara kecuali banduan yang sakit.

Dengan suara yang perlahan dan selamba, Shidi berkata: “Penjara tempat untuk para banduan muhasabah diri dan motivasi diri.

“Siapa yang suka dipenjarakan tetapi kalau kita terpaksa melalui ujian ini, bersyukurlah kerana Allah memberi peluang untuk memperbaiki dan muhasabah diri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment