KL CHRONICLE: Bila si jahil berbicara – Ridhuan Tee Abdullah

Monday, February 16, 2015

Bila si jahil berbicara – Ridhuan Tee Abdullah


Jurucakap G25 berkata, jika hudud dilaksanakan, Kelantan akan diserbu oleh perogol kanak-kanak dan dewasa, untuk memuaskan nafsu mereka di sana.

Kenapa begitu bersangka buruk dengan undang-undang Islam sedangkan kita belum pernah melalui dan merasainya? Mengaku diri beramal dengan Islam, di manakah keyakinan kepada Allah? Tidakkah kita yakin kepada rahmat Allah apabila perintah-Nya dilaksanakan?



Paling kurang, pergilah melawat ke Brunei. Lihat betapa aman sentosanya keadaan di sana. Rahmat Allah datang mencurah-curah sejak syariat Islam dilaksanakan.

Lagi pun, apakah sistem yang diamalkan hari ini berjaya membendung jenayah rogol? Tidak juga. Malah semakin ramai yang kena rogol, jenayah berleluasa. Tidakkah perlu mencari alternatif lain?

Majoriti manusia cenderung ke arah melakukan kebaikan. Manusia yang rasional tidak akan merogol. Mereka yang merogol hanya segelintir saja. Sebab itu, Islam mengambil pendekatan mencegah dengan hukuman agak berat.

Ilmu kita tentang rogol, jangan hanya terhad pada 4 saksi saja dan buku Inggeris Hashim Kamali. Kitab-kitab hendaklah ditelaah bersekali. Apakah benar jika tiada 4 saksi, maka bebaslah perogol?.

Bagaimana pula dengan takzir, hirabah (kerana memeras), Qisas (jika mencederakan atau menyebabkan kematian), diat (denda ganti rugi) dan sebagainya?

Dalam kata lain, kepelbagaian kes ini boleh disabitkan melalui pelbagai kaedah mengikut pertuduhan. Malah, kes rogol lebih mudah ditangani berbanding zina.

Inilah akibatnya apabila si jahil berbicara dalam bidang bukan kepakarannya. Pakar pun, kadangkala kalah juga, bila berada di mahkamah (ICJ). Pendek kata, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Malu dan boleh merosakkan akidah.  

Belum pun isu rogol reda, tiba-tiba wakil rakyat ultra kiasu Pulau Pinang membuat kenyataan rogol dengan mengaitkan khutbah Jumaat Jais dua minggu lalu.

Peliknya, khutbah itu ditujukan kepada orang Islam, kenapa yang tidak bersunat gatal punggung?

Wakil rakyat itu mempertikaikan khutbah Jais, bertajuk “aurat: antara kebebasan dan maruah”, yang menekankan kepentingan menutup aurat bagi mengelakkan mudarat lain seperti rogol.

Ultra kiasu kata, orang yang tutup auratlah yang paling ramai kena rogol. Sebab kainnya mudah diselak, berbanding memakai seluar ketat, yang sukar ditanggalkan.

Katanya, isi kandungan khutbah Jais bercanggah dengan fakta, tidak benar, tidak bertanggungjawab, tidak menghormati wanita dan bias.

Kepada yang faham, sudah tentu kita akan berkata, khutbah tersebut mahu mengangkat martabat wanita. Peliknya, kenapa MCA, Gerakan dan lain-lain diam membisu? Tidak pula dituduh wanita putih ini rasis?

Kena pada kita, rasis belaka. Kena kepada mereka, itu namanya hak.

Peliknya lagi, kenapa tidak bandingkan kes rogol di negara barat yang tidak menutup aurat atau negara paling seksi?

Mengikut kajian di barat, berpakaian seksilah yang paling banyak mengundang kepada rogol. Zig Ziglar (2000), pakar motivasi Amerika, bercerita panjang lebar tentang hal ini.

Hujah ini disokong Sudin Dhavilika (2014), bukan Islam, menteri di Jabatan Kerja Raya, Goa, India. Beliau pernah mencadangkan larangan pemakaian bikini di pantai.

Begitu juga pemakaian skirt pendek dan kelab malam. Pemakaian sebegini boleh mengundang kepada cabul dan rogol serta keganasan ke atas wanita.

Kenapa ultra kiasu tidak boleh berfikir rasional seperti menteri India ini? Nasib baiklah di negara kita ada etika berpakaian ketika berada di pejabat, DUN atau Parlimen.

Kadangkala sangat meluat melihat, pergi ke pejabat awam, sudah ada notis ditampal dengan jelas, berpakaian sopan bila berurusan dengan pejabat kerajaan. Malangnya, yang datang, baju-T lebih panjang daripada seluar pendeknya.

Bentuk tubuh badan wanita dan lelaki berbeza. Pendedahan dan penonjolan wanita menggiurkan dan memberahikan, menjadikan lelaki terangsang untuk merogol. Logiknya, mudah. Tubuh badan wanita memberi tarikan dan rangsangan.

Memanglah tutup aurat bukan jaminan untuk kena rogol. Perogol tidak memilih mangsa. Agama kami lebih kepada mengambil langkah pencegahan. Jika ditakdirkan ramai yang tutup aurat kena rogol. Itu sudah takdir.

Saya tidak nafikan wanita bangsa saya kurang kena rogol. Kebanyakan mereka lakukan seks atas dasar suka sama suka, meskipun belum mendaftarkan perkahwinan. Suka, teruskan, tidak suka tinggalkan. Itulah yang berlaku kepada saudara mara saya. Sebab itu tidak ada istilah rogol. – sinarharian.com.my, 16 Februari, 2015.

No comments:

Share This

Comments

Facebook Popup

Powered by Blog - Widget