Tuesday, December 9, 2014

Tok Pa : Dasar pandang ke timur tumpu di Korea Selatan

 Menteri Perdagangan. Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed ketika mengadakan sidang media di sini hari ini. Datuk Seri Mustapha Mohamed berada di sini bagi mengiringi lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Republik Korea bermula hari ini. - Foto Bernama

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata gelombang kedua Dasar Pandang  Timur (LEP2.0) akan memberi tumpuan khusus kepada kerjasama ekonomi dengan Korea Selatan dan buat permulaan ia akan seiring dengan Program Transformasi Ekonomi Malaysia dan Inisiatif Ekonomi Kreatif Korea Selatan.


    
Beliau berkata penekanan akan diberikan terhadap usaha membangunkan sektor strategik seperti automotif, pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perdagangan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) gunaan untuk memanfaatkan ekosistem persekitaran perdagangan dan pelaburan masing-masing.
     
"Bagi memacu pelaksanaan LEP 2.0, kerajaan Malaysia dan Korea Selatan akan memanfaatkan saluran kerjasama sedia ada bagi Kerjasama Perindustrian Dua Hala dalam automotif, elektrik dan elektronik/ICT, serta perdagangan dan pelaburan untuk meneroka bidang kerjasama baharu," katanya kepada media Malaysia di sini.
    
Mustapa berada di sini sebagai anggota delegasi Malaysia dalam lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak ke Korea Selatan yang bermula hari ini.
    
Menteri itu berkata rakyat Malaysia telah mendapat manfaat lebih tiga dekad daripada Dasar Pandang ke Timur dengan Korea Selatan, terutamanya dalam mendapatkan latihan dan pendidikan dalam bidang sains dan teknologi di Korea.
     
Kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh di Korea selatan telah membantu memperkayakan ekonomi Malaysia dan kini gelombang kedua dasar berkenaan lebih berorientasikan ekonomi.
    
Bagaimanapun, LEP 2.0, kata beliau, akan terus memanfaatkan program pembangunan modal insan sedia ada seperti program pertukaran belia dan biasiswa oleh kerajaan Malaysia dan juga kerajaan Korea Selatan.
    
Biasiswa berkenaan diberikan melalui program biasiswa JPA, biasiswa oleh universiti utama Korea termasuk Seoul National University, Information and Cooperation University dan Korea Advanced Institute of Science and Technology (Kaist) serta Agensi Kerjasama Antarabangsa Korea (KOICA).
    
Mustapa berkata Korea Selatan merupakan rakan dagang utama Malaysia dan merupakan rakan dagang Malaysia ketujuh terbesar pada tahun 2013.
     
Sejak 10 tahun lepas, pertumbuhan tahunan purata perdagangan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan dicatatkan pada 8.07 peratus. 
    
Mustapa berkata pada 2013, jumlah perdagangan dengan Korea Selatan meningkat 13.6 peratus kepada US$18.03 bilion (RM56.85 bilion) daripada US$16.20 bilion (RM50.04 bilion) pada 2012. 
    
Dari Januari hingga Oktober tahun ini, perdagangan meningkat 7 .9 peratus kepada US$15.41 bilion.
    
Syarikat-syarikat Korea Selatan, kata beliau, terus menjadi antara pelabur utama di Malaysia dan pada 2013, mereka merupakan pelabur kedua terbesar dengan pelaburan diluluskan berjumlah US$1.67 bilion dalam 13 projek pembuatan.
    
Bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, Korea Selatan kekal antara 10 pelabur asing utama dengan pelaburan diluluskan berjumlah US$472 juta dalam barangan elektronik dan elektrik, produk logam asas, produk plastik serta kayu dan produk kayu.
    
Mustapa juga berkata sebagai Pengerusi Asean tahun depan, Malaysia akan juga bekerjasama dengan rakan-rakan Aseannya untuk menyediakan komuniti perniagaan di Asean untuk persekitaran yang baharu, terutamanya apabila Komuniti Ekonomi Asean (AEC) ditubuhkan pada akhir tahun depan.
     
"Penekanan sewajarnya akan diberikan bagi memperkukuhkan PKS yang merupakan tulang belakang semua ekonomi di rantau ini dengan meningkatkan penyertaan mereka dalam dunia pengeluaran dan rantaian bekalan, yang kami percaya akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi Asean.
     
"Bertemakan 'Ke arah Asean Berpaksikan Rakyat', Malaysia berharap dapat  menyumbang kepada integrasi ekonomi serantau, termasuk merealisasikan AEC dan pembangunan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)," katanya. -Bernama

No comments:

Post a Comment