Saturday, December 6, 2014
Kini Gereja Sarawak rayu dibenar guna kalimah ‘Allah’ di seluruh Malaysia pula
Sebuah gereja utama Sarawak, kini merayu dibenarkan menggunakan kalimah "Allah" di seluruh negara, selepas kerajaan @NajibRazak hanya membenarkan kalimah "Allah" digunakan di dalam gereja di Sabah & Sarawak sahaja.
Ia dinyatakan Sidang Injil Borneo (SIB), beberapa minggu selepas pihak berkuasa agama Selangor secara hormat dan bersangka baik menyerahkan kepada gereja Sarawak lebih 300 naskhah Bible berbahasa Melayu dan Iban yang dirampas dari Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu.
Kebanyakan negeri melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan beberapa perkataan Arab lain, menyebabkan berlaku rampasan bahan bacaan Kristian, malah tindakan undang-undang oleh Gereja Roman Katolik.
"Larangan itu bukan sahaja setakat perbuatan fizikal menggunakan perkataan itu. Kesannya lebih dalam kerana ahli kami dinafikan harapan, kekuatan rohani dan tujuan hidup. Dalam erti kata lain, larangan itu merampas perkara paling penting di dalam kehidupan kami," kata presiden SIB, Dr Justin Wan dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.
SIB itu merupakan sekutu SIB Sabah dan SIB Kuala Lumpur, dengan pengikut yang besar di kalangan rakyat Malaysia. Ketiga-tiga gereja itu ditadbir secara berasingan.
Wan berkata beratus-ratus penganut Kristian dari Sarawak dan Sabah belajar di universiti dan institut pengajian tinggi di Semenanjung Malaysia, dan "kebanyakan mereka belajar di sekolah menggunakan pengantara Bahasa Malaysia sepenuhnya, hasil Dasar Pelajaran Negara, dan dengan sedikit pendedahan kepada bahasa Inggeris".
"Mereka lebih selesa beribadat di dalam Bahasa Malaysia," katanya, dan menambah ramai penganut Kristian dari Sabah dan Sarawak yang belajar dalam Bahasa Malaysia, berhijrah dan menetap di Lembah Klang dan negeri lain di Semenanjung, tetapi menggunakan kalimah "Allah" ketika bersembahyang, seperti ibu bapa dan nenek moyang mereka.
"Dan secara fitrahnya, mereka akan terus berbuat demikian di Semenanjung Malaysia. Oleh itu, walaupun larangan itu hanya terpakai di Semenanjung Malaysia dan tidak di Sabah dan Sarawak, pergerakan penduduk merentasi timur dan barat Malaysia menyusahkan ahli kami mematuhi larangan ini.
"Ini seterusnya boleh memberi kesan memudaratkan perpaduan nasional dan menghancurkan semua usaha merealisasikan visi 'Satu Malaysia'," kata Wan.
Wan berkata SIB ditubuhkan di Sabah dan Sarawak pada 1928 dan aktif di kampung-kampung di kawasan pedalaman dan bandar di sana.
Katanya, perkataan "Allah" diguna dalam semua bahasa tempatan: lban, Lun Bawang, Bidayuh, Kelabit, Kenyah, Kayan, Penan, Berawan.
Pihak gereja juga, katanya, bertanggungjawab mengubah kehidupan masyarakat bandar mahupun luar bandar di kedua-dua negeri itu.
“Oleh yang demikian, kami amat yakin pemeliharaan dan sokongan terhadap hak kami mengamalkan agama kami tanpa larangan tersebut bukan sahaja baik bagi ahli kami, tetapi juga negara."
SIB turut melahirkan rasa puas hati dan syukur di atas pemulangan naskhah Alkitab dan Bup Kudus yang dirampas pihak berkuasa agama Selangor dari BSM pada 2 Januari lepas, kepada Persatuan Gereja Sarawak (ACS).
Ia juga menyuarakan kebimbangan mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan dalam usaha majalah Herald memohon dibenarkan pemakaian kalimah "Allah" dalam penerbitan mingguannya.
Pada 23 Jun, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan gereja supaya dibenarkan membuat rayuan terhadap pengharaman tersebut. Empat dari panel tujuh hakim berkata Mahkamah Rayuan bertindak betul dalam keputusannya mengharamkan Herald menggunakan istilah itu.
SIB mengulangi yang kalimah "Allah" merupakan sebahagian penting kepercayaan ahlinya, dan menyeru Putrajaya “melindungi hak kami yang dijamin dan sudah sebati, bagi menganut dan mengamal kepercayaan dan agama kami dengan bebas seperti dipersetujui pengasas Malaysia dan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan." – 6 Disember, 2014.
Apa sahaja yang berlaku berkaitan penggunaan Kalimah Allah dalam buku Bible ni.... segala2nya saya fikir adalah berpunca dari peniruan cara-cara dan KEBIADAPAN ANWAR IBRAHIM yang kini menjadi cara DAP dan penyokong tegarnya berpolitik.
ReplyDeleteAlasan pelajar sabah dan sarawak lebih senang serta mudah menggunakan injil bahasa Melayu. Undang2 tetap Undang2... demi menjaga Kedaulatan ISLAM DI TANAH MELAYU... AMARAN jangan LAYAN PADERI GEREJA SABAH / SARAWAK yang mempunyai agenda tersembunyi.. PEMBOHONG....
ReplyDelete