Friday, December 5, 2014

Dr Mahathir selar sikap membisu Umno mengenai 1MDB, TPP


Tun Dr Mahathir Mohamad terus melancarkan serangan ke atas pimpinan negara dengan mempersoalkan kegagalan Putrajaya dan perwakilan perhimpunan agung Umno baru-baru ini menyentuh kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) dan pelebaran jurang kekayaan.


Walaupun gembira dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Akta Hasutan, Dr Mahathir, yang merupakan antara suara lantang membantah 1MDB, berkata kerajaan membisu terhadap kontroversi syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu.

"Yang membuat tandatanya bukan kenaikan harga elektrik kerana pembelian stesyen janakuasa, tetapi kerana harga belian yang amat tinggi, dibayar dengan duit hutang yang bunganya tertinggi yang pernah dikenakan kepada Kerajaan dan komisyen kepada Goldman Sachs sampai 11%," tulis bekas perdana menteri itu dalam blognya Che Det, hari ini.

"Kenapa pula pelaburan dibuat di Cayman Islands atau wang disimpan di sana?

"Cayman Islands adalah pusat operasi Hedge Fund dan dagangan matawang. Sementara orang atau syarikat biasa gemar melabur dalam Hedge Fund dengan pulangan yang tinggi, Kerajaan biasanya tidak melabur dalam Hedge Fund kerana ia adalah satu jenis judi."

Dr Mahathir turut mengingatkan tentang syarikat dana terbesar, Long Term Credit Management (LTCM) yang pernah rugi besar sehingga mengheret bank dan pelabur ke arah muflis, tetapi diselamatkan Wall Street dan kerajaan Amerika Syarikat. – 5 Disember, 2014.

No comments:

Post a Comment