Monday, November 17, 2014

Pemimpin Umno negeri yang masih ‘berbulan madu’ harus ditukar


Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (gambar) meminta kepimpinan Umno membuat perubahan drastik dengan menukar semua kepimpinan di peringkat negeri yang dilantik tetapi tidak membuktikan kemampuan mereka dalam usaha menjamin kemenangan parti dalam pilihan raya umum akan datang.



Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentu mengetahui ada pemimpin Umno di setengah negeri yang masih seperti "berbulan madu" selepas pilihan raya umum lalu tanpa memberi tumpuan dan perhatian menabur khidmat bakti kepada rakyat.

"Kalau begini caranya, rakyat ditinggalkan, bagaimana boleh kita memastikankemenangan dalam pilihan raya umum nanti, lebih-lebih lagi di negeri yang sudah jatuh ke tangan pembangkang," katanya semasa berucap merasmikan Konvensyen Umno Negeri Perlis 2014 di Dewan Warisan semalam. 

Turut hadir Pengerusi Perhubungan Umno Negeri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri yang juga Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

"Saya berharap (Datuk Seri) Najib (Razak) buat perubahan yang mana perlu untuk memperkasakan Umno di semua peringkat.

"Jawatan penting dalam parti yang di bawah bidang kuasa beliau membuat pelantikan perlu dibuat perubahan jika mereka masih lemah menjalankan tugas," katanya yang juga timbalan menteri pertanian dan industri asas tani.

Tajuddin berkata, beliau membangkitkan perkara tersebut kerana tidak mahu Umno dan BN kalah dalam pilihan raya umum akan datang, terutama di negeri yang sudah jatuh ke tangan pembangkang.

"Kita tak mahu kalah lagi. Mana nak letak nasib orang Melayu jika begini jadinya. Apabila Umno kalah (di sesebuah negeri), suara orang Melayu sudah tidak didengari lagi," katanya.

Katanya, pemimpin Melayu yang menjadi menteri atau menteri besar pula kena membela nasib orang Melayu, bukan menjadi "pengampu" yang merapu dalam Umno seperti kata pepatah "sokong membawa rebah".

Umno mesti terus berkuasa untuk menebus kembali mana-mana tempat dan negeri yang kalah, katanya. 

No comments:

Post a Comment